Al-Quran merupakan sebuah kitab suci yang diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada Rasulullah s.a.w. dengan perantaraan malaikat Jibril a.s. Isi kandungan al-Quran menyeru kepada umat manusia supaya meneliti, memahami dan mengambil iktibar di atas apa yang termaktub di dalamnya. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Nisa’:
Maksudnya: Maka tidakkah mereka menghayati (mendalami) al-Quran? Sekiranya al-Quran itu bukan dari Allah, pastilah mereka menemukan banyak hal yang bertentangan di dalamnya.[1]
Oleh kerana itu, ia adalah merupakan unsur yang penting dalam kehidupan manusia. Pendekatan tersebut telah digunakan oleh ulama-ulama dahulu iaitu golongan al-salaf al-soleh,[2]. Golongan ini memahami segala intipati yang terdapat di dalam al-Quran. Seterusnya mempelajari dan mengamalkannya. Oleh itu, untuk memahami al-Quran seseorang itu perlu mahir dalam asas-asas yang dikenali sebagai Usul Tafsir.
2.0 Ulasan Tafsir
Maksudnya: dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi soleh. ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadanya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata (mukjizat) dari Tuhan kamu: ini adalah seekor unta betina (dari) Allah sebagai keterangan bagi kamu (membuktikan kebenaranku). oleh itu, biarkanlah unta itu mencari makan di bumi Allah, dan janganlah kamu menyentuhnya Dengan sesuatu yang menyakitinya; (kalau kamu menyentuhnya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.[3]
2.1 Tafsir Ibnu Kathir
Ahli mufassir mengatakan bahawa Tsamud bin ‘Atsir bin Iram bin Saam bin Nuh, ialah saudara Jadis bin ‘Atsir. Demikian juga dengan kabilah Thasm. Mereka semua adalah kabilah daripada Arab ‘Aribah iaitu Arab asli. Mereka hidup sebelum Nabi Ibrahim a.s. Kaum Tsamud muncul setelah kaum ‘Aad. Mereka tinggal di sebuah tempat yang terkenal iaitu diantara Hijaz dan Syam sehingga ke lembah al-Qura dan sekitarnya. Pada Zaman Rasulullah s.a.w, baginda pernah pergi ke tempat tersebut ketika baginda hendak berangkat ke Tabuk pada tahun kesembilan hijrah.
Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abdullah bin Umar telah berkata: “Rasulullah s.a.w. ketika berada di Hijr (daerah kaum Thamud), beliau bersabda:
(لا تدخلوا على هؤلاء المعذبين , إلا أن تكونوا باكين , فإن لم تكونوا باكين , فإن لم تكونوا با كين فلا تدخلوا عليهم أن يصيبكم
مثل ما أصا بهم.)
Maksudnya:“Janganlah kalian masuk ke tempat orang-orang yang disiksa itu kecuali jika kalian dalam keadaan menangis. Jika tidak dapat menangis, maka janganlah kalian memasukinya, dikhuwatirkan kalian tertimpa seperti apa yang telah menimpa mereka.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Asal hadith di atas adalah dikeluarkan di dalam Sahih Bukhari dan juga Sahih Muslim. Firman Allah s.w.t kepada kaum Tsamud yang bermaksud “dan kepada Tsamud” iaitu Kami mengutuskan kepada kabilah Tsamud dikalangan saudara mereka sendiri iaitu Nabi Soleh a.s. Nabi Soleh pun berkata kepada kaumnya “Hai Kaumku, beribadahlah kepada Allah s.w.t., tidak ada Ilah bagimu selainnya.” Berdasarkan ayat di atas, maka seluruh Rasul-rasul Allah s.w.t menyeru supaya beriman kepda Allah s.w.t. Hal ini bersandarkan firman Allah:
Maksudnya: Dan Kami tidak mengutus sebelummu (Wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: "Bahawa Sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu, Beribadatlah kamu kepadaku".[4]
Selanjutnya firman Allah, mafhumnya: “Sesungguhnya telah datang bukti yang nyata kepadamu dari Rabbmu. Unta betina Allah s.w.t. ini menjadi tanda bagimu. Hal ini diterangkan lagi dengan mengatakan telah datang kepada kamu hujah daripada Allah s.w.t yang membenarkan aku membawanya. Sebelum itu, mereka meminta Nabi Soleh a.s. agar dia mendatangkan untuk mereka (kaum Tsamud) satu tanda dan menyusulkan supaya dia mengeluarkan seekor unta betina yang hamil dari sebongkah batu besar yang keras yang mereka lihat sendiri dengan mata mereka sendiri. Batu tersebut satu-satunya batu yang terletak di sisi Hijr. Batu tersebut diberi nama al-Khaatibah. Kemudinya Nabi Soleh pun mengikat janji dengan mereka iaitu jika Allah s.w.t. menunaikan permintaan mereka, maka mereka akan beriman dengannya.
Setelah daripada perjanjian tersebut, Nabi Soleh a.s. menunaikan solat 2 rakaat dan berdoa kepada Allah s.w.t. Setelah itu batu yang besar itu bergegar dan retak. Akhirnya keluarlah daripada batu tersebut seekor unta betina dan hamil seperti yang mereka minta. Pada saat itu, ketua pimpinan mereka iaitu yang bernam Junda’ bin ‘Amr dan orang-orang bersamanya beriman kepada Nabi Soleh a.s. kemudian diikuti oleh kau bin ‘Amr Tsamud yang lain tetapi telah dihalang oleh Dzu’a bin ‘Amr bin Labid dan al-Hubab, iaitu seorang penjaga berhala mereka serta seorang lagi iaitu Rabab bin Sha’ar bin Jalhas. Junda’ bin ‘Amr mempunyai saudara sepupu yang bernama Syihab bin Khalifah bin Muhilat bin Labid bin Haras, termasuk juga dikalangan kaum Tsamud yang terhormad dan dipandang tinggi. Mereka telah memeluk Islam. Namun begitu mereka telah dihalangi oleh mereka itu. Akhirnya mereka juga terpengaruh dengan golongan tersebut dan keluar semula daripada Islam.
Setelah unta itu melahirkan anak dan anak tersebut tinggal beberapa saat dalam kalangan mereka. Mereka meminum susu unta betina tersebut. Mereka juga memerah susunya sehingga mereka mengisinya semua bekas dan bejana sesuka hati mereka. Sebagaimana dalam ayat lain Allah berfirman:
Maksudnya: Dan khabarkanlah kepada mereka, Bahawa Sesungguhnya air (telaga mereka) terbahagi di antara mereka Dengan unta itu, tiap-tiap bahagian air itu dihadiri oleh yang berhak mengambilnya (pada hari gilirannya).[5]
Kemudian Allah berfirman lagi:
Maksudnya: Bagaimana mereka dapat beringat (menyempurnakan janji mereka hendak beriman itu)? pada hal mereka telah pun didatangi seorang Rasul Yang memberi keterangan-keterangan (yang cukup untuk mereka beriman)!
Unta betina itu bebas untuk berkeliaran di lembah tersebut. Ada yang berpendapat bahawa unta tersebut merupakan makhluk yang besar dan menakjukkan sehinggakan apabila berjalan melewati benatang-binatang lain. Semakin hari mereka mendustakan nabi Soleh a.s. iaitu mereka ingin membunuh unta tersebut sehinggakan mereka telah bersepakat untuk membunuh unta tersebut. Menurut Ibnu Katsir[6] sendiri mengatakan “ Dan itulah lahiriah dari firman Alllah s.w.t.:
Maksudnya: (setelah Nabi soleh memberi amaran) lalu mereka mendustakannya serta menyembelih unta itu. Dengan sebab dosa mereka, maka Tuhan menimpakan mereka Dengan azab Yang membinasakan serta ia meratakan azab itu meliputi mereka (sehingga punah-ranah semuanya).”[7]
Firman Allah lagi dalam ayat lain:
Maksudnya: Dan tiada yang menghalang Kami dari menghantar turun mukjizat yang mereka minta itu melainkan kerana jenis mukjizat itu telah didustakan oleh kaum-kaum yang telah lalu; dan di antaranya Kami telahpun memberikan kepada kaum Thamud unta betina sebagai mukjizat yang menjadi keterangan yang nyata, lalu mereka berlaku zalim kepadanya; dan biasanya Kami tidak menghantar turun mukjizat-mukjizat itu melainkan untuk menjadi amaran (bagi kebinasaan orang-orang yang memintanya kalau mereka tidak beriman).[8]
Kemudiannya mereka membunuh unta tersebut. Ahli tafsir termasuk Imam Abu Ja’far berpendapat bahawa antara sebab unta tersebut dibunuh ialah terdapat seorang wanita yang bernama ‘Unaizah binti Ghanam bin Maljaz yang memusuhi Nabi Soleh a.s. selain itu, seorang wanita yang bernama Shadaqah binti al-Muhaya bin Zuhair bin Mukhtar juga salah seorang yang memusuhi Nabi Soleh a.s. oleh itu, Shadaqah telah mengupah al-Hubab tetepi al-Hubab menolak permintaan tersebut. Atas kejadian tersebut dia memanggil pula sepupunya iaitu Masda’ bin al-Muhayya manakala ‘Unaizah pula memanggil Qidar bin Salif bin Jidz’i. ‘Unaizah telah menawarkan anaknya kepada Qidar jika dia dapat membunuh unta betina Nabi Soleh tersebut.
Di atas tawaran tersebut maka Qidar telah menyeru sahabatnya. Maka dengan itu, jadilah jumlah mereka sebanyak sembilan orang. Dan mereka itulah disebutkan oleh Allah s.w.t. melalui firmannya:
Maksudnya: Dan di bandar (tempat tinggal kaum Thamud) itu, ada sembilan orang yang semata-mata melakukan kerosakan di bumi (dengan berbagai-bagai maksiat) dan tidak melakukan kebaikan sedikitpun.[9]
Tanpa berlengah mereka berangkat untuk membunuh unta tersebut. Pada ketika itu unta tersebut sedang pulang daripada sumber air. Dalam perjalanan itulah sembilan orang upahan tersebut berjaya membunuh unta betina tersebut. Manakala anaknya berlari ke sebuah gunung. Diriwayatkan oleh ‘Abdul Razak, dari Ma’mar dari seseorang yang mendengar al-Hasan al-Basri berkata: “ Anak unta tersebut mengeluh: “Ya Rabbku, di mana Ibuku.” Dan disebutkan juga bahawa anak unta tersebut mengeluh tiga kali, kemudiaannya masuk ke dalam batu dan hilang.
Setelah selesai menyembelih unta tersebut, berita tersebut sampai kepada Nabi Soleh a.s. lalu pergi berjumpa dengan mereka. Pada ketika itu mereka berkumpul dihadapan sembelihan tersebut. Melihat peristiwa tersebut Nabi Soleh a.s. pun menangis dan berkata:
Maksudnya: Mereka kemudiannya menyembelih unta itu, lalu berkatalah Nabi soleh a.s. kepada mereka: Bersenang-senanglah kamu di tempat masing-masing selama tiga hari; tempoh Yang demikian itu, ialah suatu janji Yang tidak dapat didustakan".
Selepas daripada 3 hari maka bala Allah s.w.t yang berbentuk teriakan suara keras dari langit dan gempa bumi yang dasyat. Maka jadilah mereka mayat-mayat yang bergelimpangan di tempat tinggal mereka. Para ahli tafsir mengatakan tiada seorang pun terselamat daripada kaum Tsamud kecuali Nabi Soleh a.s. dan pengikutnya. Demikiaan itu bekatalah Nabi Soleh a.s. kepada kaumnya: “Sesungguhnya aku telah memberi nasihat kepada kamu tentang Rabbku tetapi kamu tidak menyukai orang yang memberi nasihat.”
2.2 Tafsir Maraghy
Maksudnya: Dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi soleh. ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadanya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata (mukjizat) dari Tuhan kamu; ini adalah seekor unta betina (dari) Allah s.w.t. sebagai keterangan bagi kamu (membuktikan kebenaranku). oleh itu, biarkanlah unta itu mencari makan di bumi Allah, dan janganlah kamu menyentuhnya Dengan sesuatu yang menyakitinya; (kalau kamu menyentuhnya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Tsamud merupakan salah satu khabilah Arab yang mendiami al-Hijr yang terletak di antara Hijaz dan Syria sehingga ke Wadil Qura. Khabilah ini diberi nama dengan berdasarkan nama datuk mereka iaitu Thamud ibnu Sam ibnu Nuh. Pertalian persaudaraan mereka dengan nabi Soleh a.s. adalah persaudaraan nasab seperti persaudaraan Nabi Hud a.s. dengan kaumnya.
Kaum Tsamud telah diutuskan oleh Allah s.w.t kepada saudara mereka Nabi Soleh a.s. Nabi Soleh a.s. telah berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku, sembahlah Allah s.w.t., tiada sekutu bagi-Nya. Kamu tidak mempunyai Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah s.w.t. Sesungguhnya telah datang kepada kamu bukti kebenaran daripada apa yang dikatakan tadi dan aku menyeru dengan penuh keikhlasan dalam mentauhidkan Allah s.w.t. dan kepadanya sahaja yang berhak disembah tanpa penyembahan yang lain.”
Ucapan Nabi Soleh a.s. tersebut merupakan petunjuk bahawa mukjizat bukanlah daripada perbuatannya sendiri tetapi semuanya daripada Allah s.w.t. Segala kekuatan yang ada pada rasul-rasulnya adalah hasil daripada anugerah Allah s.w.t. Kata-kata tersebut telah disampaikan kepada mereka setelah mereka menerima nasihat dan peringatan tentang nikmat-nikmat Allah s.w.t yang dianugerahkan kepada mereka dan setelah mereka mengingkari Nabi Soleh a.s. hal ini telah dinyatakan dalam firman Allah s.w.t.:
Maksudnya: “….Dialah yang menjadikan kamu daripada bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya….”[10]
Nabi Soleh a.s. telah disuruh oleh kaumnya untuk mengeluarkan seekor unta betina daripada sebuah batu yang besar sebagai tanda kenabiaanya. Unta betina tersebut telah dikaitkan dengan Allah s.w.t kerana kejadiannya yang istimewa. Unta tersebut bukannya hasil daripada kejadian yang biasa. Kejadian tersebut merupakan satu tanda kekuasaan Allah s.w.t. Nabi Soleh a.s. telah menyebut kewujudan unta betina tersebut sebagai satu ayat. Nabi Soleh a.s berkata kepada kaumnya: “Sesungguhnya bumi adalah hak Allah s.w.t dan unta betina ini juga hak Allah s.w.t jangnlah kamu menghalang dan megganggunya. Sesungguhnya kamu akan ditimpa azab yang pedih”. Dalam Surah Hud menceritakan azab yang dikenakan kepada kaum Tsamud selepas tiga hari mereka mengganggu unta betina tersebut.
3.0 Perbandingan Tafsir
Berdasarkan kepada kedua-dua kitab tafsir ini iaitu Tafsir Ibnu Kathir dan juga kitab Tafsir al-Maraghy menunjukkan bahawa terdapat perbezaan yang jelas dari segi method penafsirannya kedua-dua kitab tersebut. Tafsir Ibnu Kasthir merupakan Tafsir bil Mathur. Dalam tafsir tersebut telah menceritakan kisah Nabi Soleh a.s. dengan mendatangkan banyak riwayat. Contohnya cerita yang diriwayatkan oleh ‘Abdurrazaq dari Ma’mar kemudian mendengar daripada Hasan al-Basri mengenai kisah anak unta mengeluh dengan menyebut “Ya Rabbku, di mana ibuku”. Da disebutkan juga anak unta tersebut mengeluh sebanyak tiga kali ( perenggan ke-2 Tafsir Ibnu Kathir juzuk 8 pada halaman 411) Kisah tersebut bersandar sepenuhnya kepada kisah-kisah Israilliyat. Namun begitu, kisah-kisah tersebut bersandarkan daripada al-Quran dan As-Sunnah. Hal ini diceritakan sendiri oleh pengarang kitab ini.[11] Segala jalan penceritaan dihuraikan secara meluas, mudah difahami dan banyak maklumat diperolehi. Manakala bagi Tafsir al-Mraghy[12] pula, ia merupakan sebahagian daripada Tafsir Kontemperori. Tafsir ini tidak banyak mendatangkan riwayat-riwayat seperti Tafsir Ibnu Kasthir. Cara penafsiran yang digunakan ialah mendatangkan satu ayat dan menafsirkan ayat tersebut. Hal ini sama seperti kaedah yang digunakan dalam Tafsir Ibnu Kathir. Kelebihan Tafsir al-Maraghy ini ialah ia mendatangkan erti perkataan sebelum bermulanya penafsiran ayat. Contohnya kalimah “Thamud”, “al-Bayyinah” dan sebaganya.[13].
4.0 kesimpulan
Secara kesimpulannya, cerita Nabi Soleh a.s. terdedah kepada Israilliyat iaitu kisah-kisah yang ditambah-tambah atau direka-reka. Jadi, kita seharusnya meneliti serta mengambil berat mengenai hal ini. Apa yang diperolehi dalam Tafsir Ibnu Kathir iaitu penulis mengingatkan pembaca dan pengkaji ilmu tafsir tentang riwayat-riwayat israilliyat yang tertolak atau berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah. Berbeza dengan Tafsir al-Maraghy yang mendatangkan ayat seterusnya mentafsir mengikut ayat tersebut. Jika dilihat dari segi kemasukan Israilliyat maka akan nampak bahawa tafsir Ibnu Kasthir lebih banyak terdedahnya pada Israilliyat kerana banyak jalan penceritaannya berbanding tafsir al-Maraghy. Di sini juga dapat dilihat tentang kelebihan yang terdapat dalam tafsir bil ma’thur dan juga tafsir al-Ra’yi.
4.0 Rujukan
1) Penyusun: Dr Abdullah bin Muhammad bin Abdul Rahman bin Ishak al-Sheikh, Tafsir Ibnu Kathir, Jilid 3, Pustaka Imam Asy-Syafi’I, Jakarta 2003.
2) Ahmad Mustafa al-Maraghiy, penterjemah: Muhamad Thalib, Tafsir al-Maraghy, Dewan bahasa dan Pustaka, Malaysia 2001.
[1] Surah al-Nisa’: 82.
[2] Merupakan generasi pertama umat Islam yang hidup sezaman dengan baginda Rasulullah s.a.w sehingga abd yang ke-3. Mereke terdiri daripada tabi’in, tabi’ tabi’in dan atba’ al-thabi’in.
[3] Surah al-A’raaf: 73
[4] Surah al-Anbia’: 25
[5] Surah al-Qamar: 28
[6] Nama ‘Imad al-Din Ismail bin ‘Amr bin Kathir al-Basri al-Dimsyiqi. Wafat pada tahun 774H.
[7] Surah al-Syams: 14
[8] Surah al-Isra’: 59
[9] Surah al-Naml: 48
[10] Surah Hud: 61
[11] Dr Abdullah bin Muhammad bin Abdul Rahman bin Ishak al-Sheikh, Tafsir Ibnu Kathir, Jilid 3, m/s 413.
[12] Ahmad Mustafa al-Maraghiy, penterjemah: Muhamad Thalib, Tafsir al-Maraghy.
[13] Ahmad Mustafa al-Maraghiy, penterjemah: Muhamad Thalib, Tafsir al-Maraghy, Jilid 4 juzuk 7 dan 8. m/s 2269.
No comments:
Post a Comment