1.0 Pengenalan
Dewasa ini, disiplin pelajar pada masa sekarang jauh lebih teruk daripada dahulu. Contohnya, pada tahun 2003 sahaja terdapat 4998 kes yang direkodkan di mahkamah juvana dan pada tahun 2004 pula bertambah menjadi 6056 kes. Tingkah laku disiplin merujuk kepada tinhkah laku mematuhi peraturan yang dibuat sama ada secara suka rela atau sesuatu yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tanpa perbincangan (Povey, 1997). Masalah disiplin juga boleh diertikan sebagai masalah tingkah laku. Masalah disiplin ini hasil daripada kecelaruan emosi dan tingkah laku. Ia merupakan salah laku yang biasa berlaku dalam kalangan remaja.[1] Ia dicirikan sebagai tingkah laku yang langsang, suka mengamuk, menentang dan enggan patuh kepada arahan (Novak dan Pelaez, 2004).
Perkara ini memerlukan perhatian yang lebih serius daripada ibu bapa, guru, masyarakat, dan pemimpin negara kerana mereka inilah generasi yang menentukan masa depan negara. Perlakuan buruk ini tidak terbatas kepada pelajar lelaki sahaja malah juga melibatkan pelajar perempuan. Rasa hormat mereka terhadap guru sudah berkurangan, malah rasa kasih sayang kepada ibu bapa juga hampir hilang. Pembentukan disiplin di kalangan remaja merupakan batu loncatan untuk melahirkan individu yang bersahsiah tinggi. Pembentukan disiplin wajib dilakukan secara berterusan dan bukan hanya bercakap kosong sahaja. Pelbagai usaha yang drastik dan efektif hendaklah diusahakan agar tidak menjadi seperti pepatah melayu mengatakan “sudah terhantuk baru tengadah” dan jangan membiarkan masalah ini “menjadi duri dalam daging” dan terus bernanah dalam masyarakat berpaksikan prinsip “di mana ada kemahuan , di situ ada jalannya” agar masalah ini dapat dibasmi hingga ke akar umbinya.
Selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara yang hendak menfokuskan kepada pembinaan insan, diharapkan dapat menjadi asas kepada pembentukan warganegara yang yang mampu memberi sumbangan kepada negara. Oleh itu, tanggungjawab dalam mengatasi masalah ini harus dipikul oleh semua pihak merangkumi golongan ibu bapa, guru, kerajaan dan pihak media. Selain itu, diharapkan semua pihak sedar mengenai masalah disiplin ini. Jika masalah ini tidak ditanggani bersama, usaha ke arah pembinaan insan yang cemerlang tidak mungkin berjaya seterusnya melahirkan modal insan kelas pertama.
Remaja pada hari inilah yang bakal menerajui tampuk pimpinan negara dan disiplin diri ialah manifestasi kapada menjana keterampilan diri remaja dari segi aspek mental dan fizikal untuk menyediakan pelapis kepimpinan yang akan memacu negara ke puncak jaya .
2.0 Punca masalah disiplin
2.1 Asuhan dan didikan di rumah
Masalah disiplin boleh dikaitkan dengan kegagalan pelajar di sekolah utnuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Isu ini menjadi perbualan hangat masyarakat lantaran kegagalan golongan pendidik untuk membentuk sahsiah pelajar. Masalah ini merupakan suatu lumrah kehidupan. Sesiapa sahaja pasti akan berhadapan dengan masalah termasuklah sebuah masyarakat dan negara. Serius tidaknya sesuatu masalah tersebut bergantung kepada darjatnya. Jika darjatnya rendah, maka ia tidak memudaratkan, tetapi sekiranya tidak, ia akan memberi kesan dan lebih menakutkan jika ia melibatkan orang ramai.
Masalah disiplin pelajar saban hari dengar menyebabkan masyarakat menjadi resah dan gelisah dengan tindak tanduk mereka. Memang tidak dinafikan terdapat banyak faktor yang mempengaruhi gejala ini. Walau bagaimanapun, cuba kita lihat sejauh manakah faktor keluarga atau ibu bapa mempengaruhi gejala sosial ini. Bukanlah bermaksud kita untuk menunding jari kepada ibu bapa yang menjadi punca masalah ini, tetapi faktor ibu bapa perlu difokuskan kerana ia menjadi ejen sosiolisasi yang utama mempengaruhi mentaliti, sifat dan sikap anak-anak[2]
Perkembangan remaja amat dipengaruhi oleh persekitarannya. Hal ini, kerana persekitaran yang terdekat dan terpenting buat remaja ialah keluarga mereka. Mengikut Hoffman, Paris dan Hall[3], keluarga telah membentuk personaliti seseorang sejak kecil dan terus memberikan pengaruh yang amat besar kepada tingkah laku, sikap dan pemikiran seseorang dalam alam dewasa. Selain itu, ibu bapa juga menjadi faktor penting kerana mereka merupakan orang terdekat dengan anak-anak dan ejen pertama memberikan pendidikan kepada anak-anak. Kehilangan kasih sayang, kurangnya pelukan dan perapatan akan melibatkan masalah disiplin (Dale, 1997).
Penglibatan remaja dalam gejala sosial di Malaysia pada hari ini seringkali dikaitkan dengan kelemahan hubungan kekeluargaan. Banyak perkara yang dilakuakan oleh remaja tidak diketahui oleh ibu bapa mereka disebabakan tiadanya komunikasi yang berkesan antara keduanya. Kesibukan ibu bapa mencari rezeki dikatakan punca keluarga tidak dapat meluangkan masa untuk mendengar cerita anak, dan keadaan persekitaran rumah yang tidak selesa menjadikan remaja lebih senang bersama kawan-kawan di luar. Kurang komunikasi sesama ahli keluarga memburukkan lagi keadaan kerana anak-anak tidak dapat menyalurkan masalah mereka kepada orang yang terdekat dengan diri mereka iaitu keluarga. Selain itu, kegagalan ahli keluarga menguasai kemahiaran komunikasi turut menyebabkan anak-anak gagal meluahkan masalah keluarga. Apabila sesuatu masalah itu disimpan dan diperam dalam jiwa anak-anak, akhirnya akan meletup dan membawa masalah kepada anak-anak.
Menurut kajian Abdul Razak Habib[4], kelulusan akademik ibu bapa mempengaruhi jumlah pendedahan kendiri anak. Ini dijelaskan bahawa ibu bapa yang berpendidikan tinggi berkemungkinan mempunyai kemahiran komunikasi yang lebih mesra dan terbuka dibandingkan degan ibu bapa yang kurang pendidikan dan masih menggunakan cara tradisional dalam berkomunikasi dengan anak. Walaupun begitu, secara amnya didapati anak lebih banyak membuat pendedahan kendiri kepada ibu berbanding bapa kerana merasakan ibu mempunyai ciri-ciri pengasih, penyayang dan memahami mereka berbanding dengan bapa. Penjelasan ini menunjukkan bahawa komunikasi anak dengan ibu bapa boleh dipupuk jika ibu bapa pelajari kemahiran-kemahiran yang sesuai.
2.2 Pengaruh media massa
Pelajar juga mendapat pendedahan yang keterlaluan daripada media cetak atau media elektronik. Pada era siber ini, pelajar mudah mendapat pengaruh yang tidak sihat melalui media seperti Internet, TV, Video, VCD dan lain-lain lagi. Ketidakterbatasan pendedahan ini mempengaruhi tingkah laku pelajar itu sehari-hari. Golongan pelajar adalah golongan yang mudah terdedah dan mereka menurut apa yang dilihat dan ditonton melalui media itu. Mereka cuba mempraktikkan seperti apa yang mereka lihat. Tidak dinafikan lagi bahawa media eloktronik dapat menjadi alat pendidikan yang berkesan dan dalam masa yang sama media juga berperanan sebagai medium yang mampu merosakkan akhlak golongan kanak-kanak serta remaja menerusi penayangan rancangan yang bercorak ganas, seks dan sadis. Melalui teknologi komputer yang kiat pesat membangun dan kini semakin sukar untuk dikawal, remaja dapat melayari internet tanpa sebarang sekatan dan ini mendedahkan pelajar kepada gejala-gejala yang kurang sihat sekiranya mereka melayari internet hanya untuk melihat benda-benda yang negatif.
2.3 Kawasan persekitaran
Kawasan persekitaran tempat tinggal yang tidak kondusif untuk pembesaran dan perkembangan diri pelajar memainkan peranan yang penting dalam pertumbuhan peribadi seseorang pelajar tersebut. Persekitaran yang sihat melahirkan individu masyarakat yang baik manakala persekitaran yang rosak melahirkan individu masyarakat dengan pelbagai masalah dan kekurangan. Persekitaran yang menjadi faktor penyumbang kepada kenakalan remaja adalah merujuk kepada tingkah laku masyarakat setempat, sebagai contoh kawasan penempatan seperti kampung baru, setinggan, rumah pangsa dan penepatan terancang seperti FELDA turut mempengaruhi penglibatan pelajar dalam kegiatan tidak bermoral. Keadaan rumah pangsa yang sempit, bising dan tidak selesa menyebabkan golongan pelajar lebih suka melepak dan berkeliaran di luar rumah. Sebahagian daripada kawasan tempat tinggal ini menimbulkan perasaan tidak selamat serta terancam dan sebilangan pelajar menyertai kegiatan ‘gengster’ yang memang telah berakar umbi di kawasan persekitarannya sebagai tempat berlindung seperti kawasan penempatan yang majoritinya masyarakat cina.
2.4 Suasana persekolahan
Sekolah adalah tempat di mana anak-anak mendapat pengajaran dan pendidikan yang formal selepas daripada ibu bapa. Jika dibandingkan dengan keluarga, sekolah adalah tempat yang paling lama di mana anak berada dalam sehari selain dari rumahnya sendiri. Di sekolahlah kebiasaannya masa-masa terpenting dalam kehidupan seharian dihabiskan oleh anak sebagai pelajar, iaitu daripada seawal jam 7.30 a.m hingga 1.00 p.m ( bagi sesi persekolahan pagi ) dan jam 1.10 p.m hingga 6.30 p.m ( bagi sesi persekolahan petang ) .
Oleh itu, selain daripada rumah, sekolah adalah institusi yang dapat memberi pangaruh kepada tingkah laku anak-anak. selain daripada belajar perkara-perkara yang berkaitan dengan akademik di dalam bilik darjah, pelajar juga sebenarnya mempelajari perkara-perkara yang berkaitan dengan kehidupan daripada interaksinya dengan rakan-rakan dan kakitangan sekolah. Banyak perkara yang menjadi ikutan pelajar sama ada yang positif dan negatif antaranya diperoleh daripada suasana pergaulan dan aktiviti yang dilakukan di sekolah. Sepanjang berada di sekolah, pelajar-pelajar biasanya mengambil sikap sama ada memerhati, memahami, menghayati, mencuba dan mengambil bahagian apa-apa perkara baru yang dialami, dilihat dan dipelajarinya.
Berhubung dengan kenakalan anak remaja, faktor sekolah yang dikira boleh memberi pengaruh kepada tingkah laku tersebut adalah : Disiplin sekolah yang longgar, Guru-guru tidak mengambil tahu masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar, suasana perhubungan yang tidak mesra antara pelajar-pelajar sesama mereka dan hubungan dengan guru-guru, suasana persekitaran sekolah tidak memberi kesan kepada pelajar dan kemudahan yang terdapat di sekolah tidak memuaskan menyebabkan pelajar mengambil tindakan berani untuk bertindak kasar atas kemudahan tersebut seperti tandas tiada air akan dirosakkan oleh mereka alat-alat yang berada di dalam tandas tersebut.
2.5 Pengaruh rakan
Salah memilih rakan sering kali menjadi antara sebab mengapa anak remaja terlibat dengan tingkah laku nakal. Meskipun anak sering diingatkan oleh ibu bapa supaya berhati-hati memilih kawan, tetapi nasihat tersebut biasannya sering kali diabaikan. Sebaik anak-anak melangkah keluar dari rumah, ibu bapa tidak berupaya lagi hendak mengawal dan menentukan siapakah rakan-rakan anaknya itu. Segalanya terserah kepada anak sama ada bagi mendengar dan patuh kepada pesanan ibu bapanya ataupun mengabaikan semua itu.
Akan tetapi, dalam banyak keadaan, peribadi anaknya juga banyak ditentukan oleh lingkungan pergaulannya. Jika anak-anak berkawan dengan orang yang baik-baik dia sentiasa terdedah dengan perkara -perkara yang baik, sebaliknya, jika anak-anak berkawan dengan orang yang rosak akhlak, sedikit sebanyak dirinya terpengaruh dengan kejahatan yang dilakukan oleh rakannya itu. Ringkasnya, seseorang itu kebiasaannya cenderung untuk terpengaruh dengan sikap, perangai dan tingkah laku rakan yang sentiasa didampinginya. Jika kawannya baik, maka baiklah dia dan jika kawannya nakal, maka nakallah dia.
2.6 Sikap guru
Dalam beberapa keadaan, guru sendiri dianggap menjadi penyebab kepada kelakuan tidak baik pelajar. ramai guru yang mengambil bidang perguruan sebagai pilihan terakhir dan mereka tidak mempunyai minat tulen hendak mengajar. Terdapat juga beberapa orang guru yang tidak cekap menunjukkan sikap tidak asuh. Sumbangan mereka kepada pembentukan dan pengawalan tatatertib yang baik dalam kalangan murid-murid boleh dikatakan tidak ada sama sekali. Hal Ini kerana mereka mempunyai sikap ‘tidak ambil tahu’.
Ada pula guru-guru dikatakan tidak mahu berbuat apa-apa bagi mencegah kelakuan yang tidak baik supaya mereka tidak dibenci oleh murid hanya kerana ingin menjadi popular dalam kalangan murid-murid.[5] Label guru pada golongan pelajar tertentu mempengaruhi layanan guru kepada pelajar-pelajar yang bermasalah. Cara guru itu memberi kesan kesan kepada pelajar-pelajar bermasalah yang melahirkan perasaan tidak dilayan secara adil. Seterusnya ia menimbulkan kebencian pelajar kepada guru.
2.7 Kemampuan dan sikap negatif ibu bapa
Kemampuan dan sifat negatif pada pelajaran dalam kalangan ibu bapa juga menjadi faktor utama pertambahan kepada keadaan tataertib yang tidak baik. Ini disebabkan kanak-kanak yang datang daripada keluarga persekitaran yang miskin tidak mempunyai kawalan ibu bapa yang teratur. Apabila ibu bapa mempunyai sikap negatif pada pelajaran, maka kanak-kanak daripada keluarga yang demikian juga mempunyai sikap yang sama. Bagi ibu bapa yang berkemampuan, anak-anak mereka sentisa diberi kemewahan sehingga segala kehendak mereka di rumah dituruti. Malah mereka juga menganggap, di sekolah kehendak mereka pasti dituruti jua.
Di sekolah, mereka bukan sahaja kerap melawan tetapi juga keras kepala dan membantah kuasa sekolah kerana mereka tahu mereaka mendapat sokongan ibu bapa yang terlalu melindungi mereka. Kanak-kanak yang datang dari keluarga yang bermasalah, di mana mereka tidak mendapat kasih sayang dan perhatian ibu bapa yang cukup, menambah kepada masalah tatatertib di sekolah-sekoalah.[6]
3.0 Kesan masalah disiplin pelajar di sekolah
3.1 Kesan ke atas murid.
Sepertimana yang kita sedia maklum, apabila tingkah laku bermasalah atau masalah disiplin berlaku dalam bilik darjah, proses pengajaran dan pembelajaran akan terjejas. Intensiti gangguan terhadap persekitaran pengajaran dan pembelajaran mempunyai perkaitan dengan jenis kekerapan dan tempoh berlaku tingkah laku tersebut. Selain itu, ia juga mempengaruhi keselamatan psikologikal murid-murid, kesediaan mereka untuk belajar, dan tingkah laku masa depan mereka.
Tingkah laku bermasalah di dalam bilik darjah akan menyebabkan banyak masa P&P terluang di sebabkan perkara yang amat kecil sahaja. Menurut hasil penyelidikan melaporkan bahawa ada sesetengah guru menghabiskan sebanyak 30 hingga 80 peratus masa pengajaran dan pembelajaran untuk menangani masalah disiplin. Contohnya pelajar yang suka berkumpul dan bersembang sebelum guru masuk mereka akan bersembang sehingga memakan masa sedalam lima minit atau lebih masa pembelajaran, dalam tempoh tersebut guru akan mengarahkan pelajar agar berada di tempat duduk masing-masing. Sebaliknya jika mereka segera bersurai sebaik sahaja guru masuk guru tersebut boleh memulakan proses pengajaran dan pembelajaran engan segera.
Kesan masalah disiplin dan tingkah laku bermasalah yang kedua ialah menunjuk-nunjuk, bermakna bahawa murid-murid akan mempelajari salah laku melalui pemerhatian tingkah laku bermasalah murid-murid yang lain. Masalah disiplin seseorang pelajar boleh tersebar terhadap rakan-rakan lain yang akan menyebabkan bilangan masalah disiplin semakin meningkat. Terdapat banyak faktor para pelajar menjadi terikut-ikut masalah disiplin pelajar lain antaranya adalah sikap ingin mencuba, ajakan kawan dan perasaan tidak puas hati akibat masalah disiplin yang dilakukan olah sahabat lain terhadap diri seseorang pelajar tersebut.
Kebiasaannya para pelajar yang mempunyai masalah disiplin di sekolah mempunyai pretas akademik yang tidak memberangsangkan. Hal ini mungkin disebabkan oleh kurangnya perhatian mereka di dalam kelas dan minat yang kurang dalam pembelajaran. Pelajar-palajar seperti ini sememangnya gemar melakukan salah laku di sekolah seperti ponteng kelas, gaduh, merokok dan sebagainya.
3.2 Kesan ke atas pihak sekolah
Sekolah merupakan institusi yang bakal menerima impak negatif jika masalah disiplin pelajar berlaku dengan berleluasa. Hal ini kerana, peningkatan beban yang diberikan kepada golongan guru oleh ibu bapa yang mengharapkan golongan ini dapat mendidik anak-anak mereka dengan sebaik mungkin. Namun begitu, akibat daripada masalah disiplin yang dilakukan oleh pelajar, pihak sekolah khususnya guru tidak dapat untuk mengajar dengan baik disebabkan gangguan.
Para pelajar yang sememangnya tidak terlibat dengan gejala ini pula terdedah kepada persekitaran yang tergugat yang boleh menyebabkan emosi mereka terganggu seterusnya menyebabkan mereka tidak dapat fokus terhadap pelajaran. Hal ini sudah semestinya menyekat minat pelajar untuk belajar. Suasana sekolah yang huru-hara pula sudah semestinya umpama kata perpatah, “kerana nila setitik rosak susu sebelanga” yang akan menjejaskan imej sekolah bukan saja di mata masyarakat setempat malahan di seluruh negara. Pengaruh imej adalah amat penting sebagai faktor pemilihan pelajar untuk belajar di sesebuah sekolah tersebut.
Masalah disiplin dalam bilik darjah juga mempunyai kesan ke atas keberkesanan guru. Kebanyakan guru adalah komited terhadap tugas dan tanggungjawab mereka di mana mereka menghabiskan banyak masa dalam membuat persediaan mengajar yang rapi. Oleh itu, apabila usaha mereka dibalas dengan sifat murid-murid yang tidak berminat dan enggan menyiapkan tugas yang diberi, sudah pasti mereka akan berasa kecewa. Kekecewaan tadi boleh melahirkan sikap negatif yang mempengaruhi layanan yang mereka berikan kepada dua jenis murid, iaitu mereka yang beramasalah dan yang berkelakuan baik. Layanan yang berbeza akan meningkatkan lagi tingkah laku bermasalah dalam kalangan murid yang bermaslah tadi. Akhirnya, guru akan tidak menghiraukan pelajar yang bermasalah tadi yang akan menyebabkan masalah disiplin pelajar meningkat pengabaian ini boleh menjadi serius sehingga ke tahap guru mahu membalas dendam.
Selain itu, masa dan tenaga yang digunakan oleh guru untuk menangani tingkah laku bermasalah amat meletihkan guru dari segi fizikal dan emosi. Tekanan yang berkaitan dengan pengurusan bilik darjah merupakan satu faktor utama dalam menentukan sama ada guru permulaan berhenti atau kekal dengan profesion perguruan. Tambahan pula, masalah disiplin juga dkatakan sebagai pemangkin kepada keadaan putus asa dalam kalangan guru. Guru perlulah mempunyai sikap yakin dengan kebolehan mereka untuk meningkatkan prestasi murid-murid mereka. Perasaan sedemikian akan membawa penambahbaikan kepada proses pengajaran dan pembalajaran serta kepuasan kerja yang akhirnya akan membawa kepada peningkatan terhadap pencapaian akademik murid-murid.
3.3 Kesan terhadap negara
Negara dapat didefinisikan sebagai tempat yang mana mempunyai sempadan, pemerintah, warganegara dan juga kedaulatan. Imej baik sesebuah negara itu dapat dilihat melalui sifat, tingkah laku serta akhlak wargenegaranya dalam kehidupan seharian. Sesuatu perlakuan serta masalah yang berlaku bakal membantutkan hasrat negara bagi mencapai negara maju menjelang tahun 2020. Sebagaimana yang kita tahu, tamadun yang maju adalah sebuah tamadun yang bukan sahaja tinggi pencapaian serta pembangunannya akan tetapi maju juga dari aspek rohani serta sahsiah warganegaranya.
Selain itu, ia juga akan memberi kesan yang negatif kepada negara mengenai pandangan dunia luar. Para pelancong tidak akan datang ke negara yang mempunyai masalah sosial. Hal ini kerana, mungkin mereka akan bimbang akan keselamatan mereka. Apabila keadaan ini belaku, ia akan men jejaskan institusi perlancong negara tersebut seterusnya menjejaskan ekonomi negara.
4.0 Langkah-langkah mengatasi
4.1 Ibu Bapa
Kemelut ini mudah dibendung jika ibu bapa terlebih dahulu sanggup mengorbankan masa mereka. Ibu bapa hendaklah mengutamakan masa depan anak mereka daripada kejayaan peribadi mereka dalam kerjaya. Ibu bapa harus memberi ruang dan peluang kepada anak untuk menjadi manusia yang berhemah tinggi.
Selain itu, Ibu bapa perlulah memahami tindakan guru yang dilakukan demi kebaikan pelajar itu sendiri serta menjaga disiplin di kawasan sekolah agar proses pembelajaran dapat dijalankan dengan sebaik mungkin mengurangkan gangguan luar. Ibu bapa tidak sepatutnya tidak membela anak mereka walaupun anak mereka jelas didapati salah. Ringkasnya, ibubapa penting dalam membanteras isu disiplin ini.
Selain itu, institusi kekeluargaan juga perlu di jaga untuk memastikan masalah disiplin pelajar dapat di atasi. Sebagai contohnya pergaduhan ibu bapa perlu dielakkan supaya tidak memberi bebanan kepada pelajar. Pergaduhan mereka juga menyebabkan anak-anak mereka tidak dihiraukan. Melaluinya, segala tindak tanduk anak-anak mereka di luar rumah dan di sekolah tidak diambil berat. Ketandusan kasih sayang dan ledakan tekanan pada seseorang pelajar datang daripada keluarga yang bermasalah akan mempengaruhi masalah disiplin seperti buli,ponteng sekolah, dan vandalisme. Oleh itu, ibu bapa perlulah mengambil berat dan meluangkan masa bersama anak-anak mereka supaya mereka tidak dipinggir dan sentiasa berasa dihargai oleh ibu bapa. Secara tidak langsung, institusi keluarga yang baik dapat mengurangkan masalah disiplin pelajar di sekolah.
4.2 Pelajar
Selain itu, pelajar itu sendiri hendaklah menuntut ilmu agama yang dapat memberi ketenangan rohani serta dapat membantu pelajar mebuat keputusan yang wajar serta tidak mengikut perasaan apabila bertembung dengan situasi yang memberi tekanan kepada perasaan dan tingkahlaku pelajar. Serorang ulama Islam pernah berkata “remaja tanpa kesedaran umpama rumah tanpa atap”. Ilmu yang dituntut mampu memberikan panduan agar tidak terbabas serta menjadi perlindungan daripada kesilapan yang dilakukan yang mampu memberi kesan negatif kepada pelajar seperti menyebabkan pandangan negatif masyarakat. Para pelajar yang beragama Islam perlu merapatkan diri kepada masjid serta majlis-majlis agama yang mana agama Islam menggesa umatnya kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Selagi pelajar mengikut landasan agama iaitu al-Quran dan as-Sunnah pelajar akan terhindar daripada melakuan masalah disiplin seperti pergaduhan dan vandalisme.
Pelajar juga perlu melibatkan diri dengan tanggungjawab dan peranan di sekolah seperti menjadi ketua kelas, pengawas, pembimbing rakan sebaya, aktiviti-aktiviti sukan serta persatuan kelab. Aktiviti-aktiviti tersebut akan membina peribadi yang positif seperti berkepimpinan, bertanggungjawab, amanah dan kemahiran berkomunikasi dengan pelbagai pihak seperti guru dan pelajar. Kemahiran komunikasi yang meningkat menyebabkan pelajar mampu membina kematangan diri seterusnya membolehkan mereka lebih memahami pendapat golongan dewasa. Penglibatan dalam aktiviti ini mampu menghindarkan pelajar dari terlibat dengan kumpulan yang tidak mempunyai perkara untuk dilakukan sehingga melakukan perlakuan salah laku disiplin. Remaja yang berada di peringkat remaja yang inginkan perhatian dan pengiktirafan golongan dewasa akan mampu menunjukkan kemahirannya melalui aktiviti tersebut.
4.3 Pihak institusi/ sekolah
Pihak sekolah merupakan pihak berwajib yang seharusnya memainkan peranan sewajarnya dalam menangani masalah disiplin pelajar di sekolah. Pihak sekolah khususnya golongan guru perlu bertindak sebagai pencegah masalah disiplin ini dengan cuba memahami psikologi pelajar.
Misi sekolah adalah membentuk iklim pembelajaran yang merujuk kepada norma-norma serta sikap staf dan pelajar yang dapat mempengaruhi iklim pembelajaran di sekolah itu.Sikap dan amalan-amalan yang ditonjolkan oleh para pelajar bukan wujud dengan sendirinya tetapi wujud daripada dasar-dasar yang dikuatkuasakan di sekolah.
Pihak sekolah seharusnya perlu menentukan bidang yang diberi perhatian khusus daripada segi masa dan sumber-sumber yang ada di sekolah dalam jangka masa yang ditetapkan. Sekolah yang mempunyai matlamat jelas dan fokus untuk membantu ke arah pencapaian matlamat itu. Bagi melancarkan usaha mencapai matlamat yang dipersetujui bersama, segala sumber, masa dan perhatian harus menjurus ke arah usaha pencapaian objektif.
Selain itu,bagi mengatasi masalah disiplin dalam bilik darjah pula, guru perlu berusaha mengenali pelajar secara individu serta mengaplikasikan garis panduan asas dalam pengurusan bilik darjah. Perhatian perlu ditekankan kepada kemahiran mengajar seperti yang berikut[7]:
a. Guru perlu membina hubungan baik dengan pelajar di dalam serta luar bilik darjah. Guru yang berjaya menawan hati pelajarnya ialah guru yang pandai berjenaka dengan batasan tertentu.
b. Guru perlu menyediakan bahan bantu mengajar (ABM) yang berkesan dan menarik serta melibatkan semua pelajar.
c. Guru perlu menguasai komunikasi di antara guru dan pelajar serta bersuara lantang.
d. Guru perlu memantau segala pergerakan aktiviti kelas.
e. Guru perlu melibatkan pelajar dengan aktiviti yang mencabar dan bermanfaat serta sesuai dengan tahap kefahaman pelajar.
f. Guru perlu mengekalkan keadilan dan ketekalan dalam perlaksanaan undang-undang yang telah dipersetujui.
g. Mendahulukan penggunaan peneguhan yang positif untuk tingkah laku yang baik berbanding menggunakan hukuman untuk tingkah laku negatif.
h. Bagi masalah yang serius, modifikasi tingkah laku perlu dilaksanakan.
4.4 Peranan masyarakat
Pembentukan identiti pelajar juga banyak dipengaruhi oleh masyarakat. Matlamat hidup remaja sangat dipengaruhi oleh pilihan-pilihan yang wujud di persekitaran dan dinilai oleh masyarakat. Kebiasaannya sikap pelajar yang harus diketahui adalah mempunyai sifat egosentrik iaitu kecenderungan bertelagah dengan orang yang ada autoriti. Mereka suka bertelagah bagi menentang nilai-nilai yang ditetapkan oleh masyarakat. Bagi mereka, nilai-nilai ini terlalu keras dan berlawanan dengan keinginannya. Jadi, mereka mengambil langkah untuk memberontak dengan nilai masyarakat yang wujud di persekitarannya.
Peranan masyarakat penting dalam membentuk peribadi seorang pelajar. Masyarakat bertanggungjawab untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan sesuai bagi pembentukan peribadi pelajar yang mantap. Keadaan di Bandar misalnya sering berlaku budaya negatif seperti rompakan, lepak, ugutan, pergaulan bebas yang tidak terbatas dan sebagainya. Apabila wujudnya persekiran seperti ini, para remaja lebih mudah terpengaruh bagi mengikuti budaya negatif itu. Manakala, di luar Bandar pula, situasi yang sering berlaku adalah kurangnya kesederan masyarakat mengenai kepentingan pendidikan. Mereka sangat terhad dengan pendedahan berkaitan demgan persaingan yang sedang berlaku dalam globalisasi ini. Keadaan ini akan mencetuskan wujudnya masyarakat yang kurang mengambil berat berkaitan dengan pendidikan para pelajar.
Apabila pembentukan masyarakat itu baik,maka ia akan mempengaruhi pembentukan tingkah laku pelajar dan begitu juga sebaliknya. Ini kerana remaja bersifat suka meniru. Ini membuktikan pengaruh dan tingkah laku masyarakat adalah faktor yang dapat mempengaruhi tingkah laku pelajar. Pelbagai dorongan yang kurang sihat dipaparkan melalui persekitaran ini menyebabkan pelajar akan terikut-ikut dengan pengaruh persekitaran itu. Lantaran itu,bagi memenuhi sifat ingin tahu akibat daripada dedahan maklumat di sekelilingnya, mereka merayau-rayau di kompleks membeli belah, pusat snuker, siber kafe dan sebagainya. Perbutan ini akan mendorong kepada perbuatan yang kurang sihat.
Sifat semula jadi pelajar adalah suka berinteraksi dengan masyarakat di sekelilingnya. Mereka ingin mencari peluang bagi mengenali semua orang di sekelilingnya. Oleh itu, sangat penting bagi masyarakat menyediakan suasana persekitaran yang positif supaya pelajar dapat berinteraksi dengan masyarakat sekeliling secara lebih positif. Selain itu, pelajar juga mampu mempersoalkan dengan lebih banyak tentang dunia sekelilingnya.
5.0 Kesimpulan
Para guru harus sedar bahawa pelajar yang ada sekarang berbeza dengan pelajar pada zaman 60-an dan 70-an dulu. Pelajar dulu takut dan hormat kepada guru, mempunyai cita- cita ataupun matlamat yang jelas dalam belajar, tidak mudah dipengaruhi oleh pelbagai pihak, selain daripada dibesarkan dalam suasana keluarga yang penuh dengan kasih sayang, hormat menghormati, sopan santun, budi pekerti, di samping tidak terlibat dalam arus mengejar kebendaan semata-mata.
Pelajar dulu kaya dengan nilai-nilai budaya Timur yang mengutamakan nilai menghormati mereka yang lebih tua. Kata-kata guru dianggap sebagai keramat, teguran guru ibarat nasihat. Paling penting, pada waktu dulu para pelajar tidak terdedah dengan bermacam- macam bentuk budaya asing dan popular yang bisa menghilangkan nilai-nilai murni yang mulia. Dulu, rotan adalah senjata yang paling berkesan untuk merawat salah laku pelajar. Tetapi apa yang berlaku di zaman ini sudah amat jauh bezanya.
Sekolah dan golongan pendidik mesti menerima hakikat bahawa pelajar sekarang lebih lantang dan sedar akan hak yang melindunginya sebagai pelajar. Mereka adakalanya berani mencabar kewibawaan sekolah. Oleh itu, kaedah-kaedah tradisional seperti dengan memarahi, merotan, menggantung dan membuang sekolah sudah tidak sesuai lagi dengan kemelut disiplin sekarang.
Sekolah perlu mewujudkan iklim yang cukup selesa untuk para pelajar menimba ilmu sehingga tidak ada ruang langsung pun untuk pelajar berasa tidak puas hati dan mendorongnya untuk memberontak. Percayalah, masalah disiplin yang berlaku di kalangan pelajar sekarang banyak berpunca daripada masalah keluarga serta kegagalan guru mempersembahkan yang terbaik untuk para pelanggannya iaitu para pelajar.
والله أعلم
Rujukan
Povey, R. (1997), “Troubles of Disipline”, dalam varma, V. (ed.), Troubles of Children and Adolescent, London: Kingsley Publishers.
Novak, G. dan Palaez, M. (2004), Child and Adolescent Development A Bahavioral Systems Approach, Thousand Oaks: Sage Publications.
Dale, F. (1997), “Trouble of Aggressiveness”, dalam Varma, V. (ed.), Trouble of Children and Adolescents, London: Kingsley Publishers.
Suppiah Nachiappan, Kamarulzaman Kamaruddin, Abd. Aziz Abd. Shukor, Ramlah Jantan, Roslinda Mustapha, Hazalizah Hamzah. (2009), Pembelajaran dan Perkembangan Pelajar, Selangor Darul Ehsan: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Abdul Razak Habib, Salleh Amat, Zuria Mahmud.(2001), Pendedahan
Abdullah Sani Yahaya. (2005), Mengurus Disiplin Pelajar. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing.
Hairunnaja Najmuddin, ( 2007 ), Memahami dan Membimbing Remaja Nakal, Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing.
Izani Daud.(1997). Gejala Sosial Melanda Remaja Masa Kini; Tidak Adakah Penyelesaiannya
Mohd Daud Saad.(1982). Mengurus Masalah Disiplin Murid
http://pmr.penerangan.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=6893:menangani-masalah-disiplin-murid&catid=385:info-ringkas
[1] Suppiah Nachiappan, Kamarulzaman Kamaruddin, Abd. Aziz Abd. Shukor, Ramlah Jantan, Roslinda Mustapha, Hazalizah Hamzah, Pembelajaran dan Perkembangan Pelajar, 2009, m/s: 48.
[2] Izani Daud.(1997). Gejala Sosial Melanda Remaja Masa Kini; Tidak Adakah Penyelesaiannya. ms43.
[3] Abdul Razak Habib, Salleh Amat, Zuria Mahmud.(2001). Pendedahan. ms 81-92
[4] Abdul Razak Habib, Salleh Amat, Zuria Mahmud.(2001). Pendedahan. ms 81-92
[5] Mohd Daud Saad.(1982). Mengurus Masalah Disiplin Murid, ms.263
[6] Mohd Daud Saad.(1982). Mengurus Masalah Disiplin Murid, ms.260
[7] Suppiah Nachiappan, Kamarulzaman Kamaruddin, Abd. Aziz Abd. Shukor, Ramlah Jantan, Roslinda Mustapha, Hazalizah Hamzah, Pembelajaran dan Perkembangan Pelajar, 2009, m/s: 49-50.
zaman sekarang dgn zaman dulu berbeza.Teks ni memahami kami sebagai para pelajar zaman atom....
ReplyDelete