Tuesday, May 3, 2011

I'JAZ AL-QURAN (HURUF MUKHOTO'AH)


1.0  PENDAHULUAN

1.1  DEFINISI I’JAZ

Al-Quran ialah mukjizat Islam yang kekal dan mukjizat yang selalu diperkuatkan dengan ilmu pengetahuan. ianya dikurniakan oleh Allah kepada Rasulullah s.a.w dengan perantaraan malaikat Jibril a.s. Pelbagai keunikan dan kehebatan terkandung di dalamnya. Tujuannya adalah untuk membimbing manusia ke jalan yang lurus. Selain itu ialah untuk melemahkan kaum-kaum yang menentang al-Quran. Dengan itu sesuai makna I’jaz yakni kemukjizatan iaitu melemahkan sesuatu. Kalimah ‘mukjizat’ berasal daripada perkatan Arab iaitu ‘معجيزات’. Kata akarnya ialah ‘عجز’ yang bererti lemah. Dalam bahasa Arab jarang sama sekali digunakan kalimah atau rangkai kata ‘Mukjizat al-Quran’ sebaliknya digunakan kalimah ‘I’jazul Quran’.[1] Menurut pengertian umum ialah sesuatu yang tidak mampu ditandingi.

Contohnya kemukjizatan al-Quran yang dapat melemahkan orang Arab untuk menandingi al-Quran, padahal mereka sangat terkenal dengan pakar bahasa, syair dan sebagainya. Namun begitu mereka tetap tidak dapat menandingi bahasa-bahasa yang terdapat dalam al-Quran. Dalilnya dari firman Allah:

Maksudnya: Katakanlah "Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa Al- Quran ini, nescaya mereka tidak akan dapat mendatangkan yang serupa dengan Dia, sekalipun sebagian mereka menjadi pembantu bagi sebagian yang lain".[2]

1.2  PEMBAHAGIAN I’JAZ
I’jaz aI-Quran terdiri dari pelbagai bentuk. Antaranya ialah I’jaz balaghi, I’jaz mengenai berita ghaib, I’jaz tasyri'i (per­undang-undangan) dan I’jaz 'ilmi. I’jaz dengan berbagai macamnya, seperti i’jaz al-thibbi (kedoktoran), I’jaz al-falaki (astronomi), I’jaz al-jughrafi (geografi), I’jaz al-thabi'i (fisika), I’jaz adadi (jumlah), I’jaz i'lami informasi), dan I'jaz-i’jaz lainnya. Dalam kitab-kitab Ulumul Quran telah dibincangkan secara terperinci mengenai tajuk tersebut seperti kitab I’jaz al-Quran yang dikarang oleh al-Baqillani  dan al-Sya’rani.[3] Namun apa yang akan dibincangkan dengan lebih mendalam iaitu mengenai I’jaz huruf mukhotto’ah pada awal surah.

2.0  PERBINCANGAN HURUF MUKHOTTO’AH DALAM KALANGAN ULAMA

Huruf yang akan dibincangkan ialah huruf ‘ق’ yang terdapat dalam al-Quran. Firman Allah dalam al-Quran:

Maksudnya: Qaaf, Demi al-Quran yang mulia.[4]
            Qaaf ialah satu huruf ejaan bahasa Arab. Surah Qaaf diawali dengan huruf tersebut sepertimana beberapa surah lain yang turut diawali dengan huruf-huruf ejaan. Sesetengah orang memahami bahawa huruf Qaaf ini membawa erti ‘nama gunung’. Namun begitu, pendapat ini tidak mempunyai dalil. Sekiranya Qaaf tersebut adalah sebuah gunung maka sudah tentu cara penulisannya berlainan berbanding tulisan Qaaf yang tertulis dalam al-Quran iaitu satu huruf yang berdiri dengan sendiri tetapi tiga huruf iaitu Qaaf, Alif dan Faa.[5]  
            Menurut pendapat yang diriwayatkan dari Abu Bakar, Umar, Utsman, Ali dan Ibnu Mas’ud mengatakan bahawa penggalan huruf-huruf yang terdapat pada beberapa awal surah adalah huruf-huruf yang maknanya hanyalah diketahui oleh Allah sahaja.[6] Ada juga berpendapat bahawa huruf-huruf tersebut merupakan nama-nama al-Quran. Pendapat lain pula berpendapat huruf-huruf tersebut dengannya Allah membuka al-Quran.

            Dari Khasif meriwayatkan dari Mujahid  mengatakan pembuka surah al-Quran itu ialah ق,ص , حم, طسم dan لرا serta huruf-huruf hijaiyyah yang lain. Ahli bahasa Arab mengatakan ia adalah huruf-huruf mu’jam.[7] Oleh itu, para ulama berbeza pendapat dari segi bacaan dan juga makna huruf tersebut.

            Jumhur ulama membaca Qaaf dengan jazm yakni mereka menggunakan sukun di penghujung bacaan. Namun begitu, ulama seperti al-Hasan, Ibnu Abi Ishak dan Nashr bin Ashim membaca dengan menggunakan harakat kasrah. Maka bacaannya menjadi seperti قاَفِ. Alasannya kerana harakat kasrah bersaudara dengan sukun yaitu lafaznya yang hampir.

            Berbeza dengan qiraat yang dibaca oleh Isa as-Tsaqafi. Beliau telah meletakkan harakat fathah bagi menggantikan sukun. Maka bacaannya menjadi قاَفَ. Alasannya ialah harakat fathah adalah harakat paling ringan. Manakala qiraat yang dibaca oleh Harun dan Muhammad bin as-Samaiqa’ ialah mereka membaca dengan meletakkan dhammah di penghujung kata tersebut. Maka bacaannya menjadi قاَفُ. Alasannya ialah kerana harakat dhammah itu adalah harakat yang biasa digunakan pada kata-kata bina’ yakni kata yang tidak dapat diubah harakatnya. Contohnya kata منذُ , قطُ , قبلُ dan sebagainya.[8]          
 
            Mengenai pemahaman dari segi makna dari huruf Qaaf, ulama juga berbeza pendapat dalam kalangan mereka. Beberapa ulama seperti Ibnu Zaid, Ikrimah dan adh-Dhahhak berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan huruf Qaaf ialah satu gunung yang pernah ada di muka bumi dan diperbuat daripada batu zamrud yang berwarna biru sehinggakan langit menjadi biru kerananya.[9] Di atas gunung tersebut terdapat dua awan yang berbentuk seperti kubah. Manakala batu zamrud yang dijumpai oleh manusia adalah disebabkan oleh runtuhnya pecahan-pecahan kecil dari gunung tersebut. Hal ini telah diriwayatkan oleh Abu al-Jauza’ daripada Ibnu Abbas. Al-Farra’ pula menambah perbahasan tersebut dengan mengatakan bahawa apabila dimaknai seperti itu, maka huruf Qaaf pada ayat di atas perlu di tarjihkan. Ini kerana, jika makna seperti itu maka huruf tersebut bermaksud sebuah isim bukan lagi daripada huruf hijaiyyah. Contonya yang di sebut dalam syair:
قلت لها قفي فقالت قاف
 Maksudnya: Aku berkata kepadanya: berdirilah kamu, lalu ia menjawab: aku sudah berdiri.

            Riwayat lain pula daripada Wahab mengatakan pada suatu hari Dzulqarnain pernah menawan puncak gunung Qaaf. Apabila beliau di puncak, beliau melihat di sekeliling gunung tersebut. Maka beliau mendapati bahawa gunung-gunung yang berada di sekeliling gunung Qaaf lebih kecil. Kemudiannya Dzulqarnain bertanya kepada gunung tersebut: “Siapakah kamu?” Gunung tersebut menjawab: “Aku adalah Gunung Qaaf” Dzulqarnain bertanya lagi: “Siapakah yang berada di sekeliling kamu?” Gunung Qaaf menjawab: “Ini adalah anak-anak gunung”. Apabila Allah akan menggoncangkan sesuatu negeri maka aku akan menggerakkan salah satu anakku ke negeri tersebut dan bergoncanglah ia. Kemudian Dzulqarnain bertanya lagi: “Wahai Gunubg Qaaf, khabarkan kepadaku satu keagungan Allah?” Gunung Qaaf menjawab: “Ketahuilah bahawa di belakangku ini terdapat gunung-gunung salju yang luasnya 500 tahun dikalikan 500 tahun perjalanan. Gunung-gunung ini berhubung antara satu sama lain, sehinggakan aku tetap teguh dan tidak hancur akibat panasnya neraka jahannam.” Dzulqarnain berkata lagi: “Teruskanlah” Gunung Qaaf menyambung: “Sesungguhnya apabila malaikat Jibril a.s itu berdiri di hadapan Allah maka ia mengigil ketakutan, dan setiap kali ia mengigil maka Allah menciptakan 100 000 malaikat. Setiap daripada mereka berdiri dengan menundukkan kepalanya. Apabila mereka diizinkan untuk bercakap maka mereka berkata: “Tiada Tuhan selain Allah”.[10]
 
            Riwayat tersebut sesuai dengan firman Allah:

Maksudnya: Pada hari, ketika ruh[11] dan para malaikat berdiri bershaf- shaf, mereka tidak berkata-kata, kecuali siapa yang telah diberi keizinan kepadanya oleh Tuhan yang Maha Pemurah; dan ia mengucapkan kata yang benar.

                al-Zujaj berpendapat bahawa huruf Qaaf ini bermaksud الأمر قضي yakni ianya telah ditetapkan seperti itu. Contohnya حم yang maknanya  الأمرحم yakni perkara yang telah ditakdirkan seperti itu. Menurut Ibnu Abbas pula ialah huruf Qaaf membawa maksud hasil daripada salah satu nama-nama Allah yang dijadikan kata sumpah. Pada riwayat lain menyebut bahawa Ibnu Abbas memberi maksud bagi huruf Qaaf ialah salah satu daripada nama-nama al-Quran. Pendapat ini juga turut disokong oleh Qatadah. 

            Menurut al-Qurazhi tentang huruf Qaaf. Beliau menafsirkan  huruf Qaaf ini adalah huruf awal dari nama-nama Allah. Nama-nama tersebut ialah al-Qadiir (Yang Maha Kuasa), al-Qaahir (Yang Maha Menguasai), al-Qariib (Yang Maha Dekat), al-Qaadhi (Yang Maha Memutuskan Perkara) dan al-Qaabidh (Yang Maha Menggenggam Roh).[12]

            Ibnu Atha’ pula menafsirkan huruf Qaaf  iaitu beliau mengatakan huruf Qaaf merupakan sumpah Allah terhadap kekuatan hati kekasihnya yakni Muhammad s.a.w kerana beliau membawa titah-titah dari Allah tanpa mempengaruhi dirinya. Hal ini disebabkan ketinggian akhlaknya sendiri.

3.0  HIKMAH DITURUNKAN HURUF MUKHATTA’AH DALAM AL-QURAN

Para ulama telah menyatakan bahawa tidak boleh meraguinya lagi terhadap huruf-huruf yang diturunkan oleh Allah kerana setiap yang diturunkan mestilah mempunyai makna. Tidak mungkin ianya diturunkan dengan sia-sia tanpa sebarang makna. Bagi orang yang tidak mengetahui, mereka akan mengatakan bahawa ianya tidak mempunyai sebarang makna. Ini adalah kesalahan besar bagi mereka yang beranggapan sedemikian. Manakala bagi orang yang mengetahui mereka akan mengatakan ianya mempunyai makna yang tersendiri dan sengaja disembunyikan maknanya oleh Allah agar kita yakin terhadap kekuasaan Allah.
Ibnu Kastir pernah menulis: “Sesungguhnya alif, lam, mim dan huruf-huruf lain yang disebutkan di awal surah al-Quran adalah untuk menjelaskan tentang kemukjizatan al-Quran. Selain itu, ia juga untuk membuktikan bahawa setiap umat manusia tidak akan mampu untuk menandingi al-Quran sama ada dengan cara menulis mahupun mencipta kitab yang standing dengannya walaupun al-Quran itu diturunkan dalam huruf yang biasa digunakan dalam pertuturan mereka seharian”.[13] Pendapat ini juga merupakan pendapat ulama Muhaqqiqin iaitu ulama yang boleh diyakini akan penilaian dan kebenarannya.

Huruf Qaaf ini juga merupakan huruf tunggal yang dijadikan sebagai pembuka surah. Tujuannya adalah untuk menarik perhatian pendengar untuk memperhatikan apa yang akan dibacanya.[14] Selain itu juga, ianya juga bertujuan untuk menentang bagi sesiapa sahaja yang meragukan al-Quran dan dapat melemahkan orang Arab untuk menandingi al-Quran, padahal mereka sangat terkenal dengan pakar fashahah, balaghah dan sebagainya. Namun begitu mereka tetap tidak dapat menandingi bahasa-bahasa yang terdapat dalam al-Quran.[15] Dalilnya berdasarkan firman Allah yang telah disebutkan di atas dalam surah Anbia’ ayat 88.

Selain itu, peradabannya untuk menarik perhatian kerana ianya menjadi alat pengingat, khususnya bagi kaum musyrikin. Mereka mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w merupakan seorang ummi yakni tidak tahu membaca dan menulis sebelum wahyu diturunkan. Oleh sebab itu, huruf yang tidak diketahui akan maknanya akan menambahkan keunikan bagi pemerhatinya. Huruf-huruf itu juga menunjukkan keutamaan dan ketinggian kedudukan orang yang menulisnya. Manusia pada masa itu telah mengetahui berkaitan dengan tulisan. Dengan datangnya huruf-huruf tersebut maka telah menjatuhkan semangat mereka untuk melangkah dengan lebih tinggi dan kehadapan. Dan yang paling aneh adalah jika huruf pembuka surah tersebut diterjemahkan dengan membuat ‘kalimah baru’ pada sebelumnya yang seolah-olah makhduf  dan diantaranya ialah nash Allah Yang Maha Bijaksana dan memiliki rahsia.[16]

4.0  KESIMPULAN

Al-Quran adalah kata-kata Allah yang disampaikan kepada Rasulullah s.a.w melalui malaikat Jibril a.s. Ia juga merupakan mukjizat terbesar bagi Rasulullah dan seluruh umat manusia. Tujuannya adalah untuk manusia berfikir dan mengkaji akan hikmah-hikmah setiap huruf yang diturunkan oleh Allah dalam al-Quran. Di samping itu juga untuk dijadikan sebagai panduan dan pedoman dalam menjalani kehidupan sebagai seorang hamba kepada Allah. Selama 23 tahun proses penurunan al-Quran adalah untuk menunjukkan ianya benar-benar terkawal daripada pernyelewengan. Hal ini adalah menunjukkan kemukjizatan al-Quran itu sendiri.








[1] Mohd Yusuf Ahmad, Anugerah dari langit, 2003, m/s 107.
[2] Surah al-Anbia’: 88
[3] Mohd Yusuf Ahmad, Anugerah dari langit,2003, m/s 116.
[4] Surah Qaaf: 1
[5] M. Quraish Shihab, Tafsir al-Msbah,2002, jilid 13, m/s 279.

[6] Shiekh Safiyurrahman al-Mubarakfuri, Sahih Tafsir Ibnu Katsir, jilid 1, m/s 110.
[7] Shiekh Safiyurrahman al-Mubarakfuri, Sahih Tafsir Ibnu Katsir, jilid 1, m/s 111.
[8] Sheikh Imam al-Qurtubi, Tafsir al-Qurtubi,2009, m/s 131.
[9] Sheikh Imam al-Qurtubi, Tafsir al-Qurtubi,2009, m/s 131.
[10] Riwayat dari Wahab ini berasal dari isra’illiyat. Sheikh Imam al-Qurtubi, Tafsir al-Qurtubi,2009, m/s 132-133.
[11] Para ahli tafsir mempunyai pendapat yang berlainan tentang maksud ruh dalam ayat ini. ada yang mengatakan Jibril, ada yang mengatakan tentera Allah, ada pula yang mengatakan ruh manusia.
[12] Sheikh Imam al-Qurtubi, Tafsir al-Qurtubi,2009, m/s 133-134.
[13] Salahuddin Abdullah, Omar Khalid, Tafsir Mubin, jilid 1, 2009, m/s 20.
[14] Tunku Muhammab Hasbi As-Siddiqy, Tafsir al-Quran Majid, 1995, m/s 3803.
[15] Dr. Mudzakir AS, Manna Khalil al-Qattan, 2007, m/s 371.
[16] Prof. Dr. H. Syafiq A. Mughn, Tafsir al-Banna, 1999, m/s 114-115.

No comments:

Post a Comment

MP3 Clips