Tuesday, May 3, 2011
IKHLAS
IKHLAS
(Ust. Hasrizal Abdul Jamil)
Al- Imam Asy Syahid Hasan Al-Banna berkata :
“Yang saya maksudkan dengan ikhlas ialah setiap akh Muslim mestilah mengharapkan keredhaan Allah dan ganjaran pahala dari-Nya. Semua perkataan, amalan dan jihad tidak memandang kepada sebarang keuntungan, kemegahan, gelaran, kedudukan terkemuka atau mundur. Dengan itu beliau menjadi tentera fikrah dan aqidah, bukan tentera yang mengejar sesuatu atau kepentingan.”
Firman Allah swt di dalam surah Al-An’am 162-163 yang bermaksud :
“Katakanlah olehmu: Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah Tuhan semesta alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian itulah aku diperintahkan.”
Dengan itu akh muslim dapat memahami slogan yang sering dilaungkan :
“Allah matlamat kami, Allah maha besar, bagi Allah segala pujian.”
Keterangan
Ikhlas ialah melakukan amalan semata-mata mencari keredhaan Allah swt, tanpa dicampuri dengan tujuan dunia. Amalannya tidak dicampuri dengan keinginan dunia, keuntungan, pangkat, harta, kemasyhuran, kedudukan tinggi di kalangan manusia, meminta pujian, lari dari kejian, mengikut hawa nafsu yang tersembunyi atau lain-lain lagi yang boleh dihimpunkan dalam : “Melakukan amalan bukan kerana Allah.”
Ikhlas dengan makna ini adalah buah dari tauhid yang sempurna iaitu mengesakan Allah taala dalam ibadat. Kerana itulah riya’ (menunjuk-nunjuk) yang merupakan lawan kepada ikhlas adalah perbuatan syirik. Syidad bin Aus berkata : “kami mengira riya’ adalah syirik kecil pada zaman Rasulullah saw.”
Rukun Bagi Amalan Yang Diterima
Setiap amal soleh mempunyai dua rukun. Allah swt tidak menerima sesuatu amalan melainkan jika memenuhi dua rukun tersebut iaitu :
pertama : ikhlas
kedua : bertepatan dengan sunnah dan syara’
Dengan rukun yang pertama tercapailah kesahihan batin dan dengan yang kedua tercapailah kesahihan lahir. Berkenaan dengan rukun yang pertama Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud :
“Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat.”
“Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan yang tidak ada kena mengena dengan agama kami, maka ia adalah tertolak.”
Allah Taala telah menghimpunkan dua rukun tersebut pada banyak tempat dalam al-Quran. Di antaranya firman Allah swt dalam surah Luqman ayat 22 yang bermaksud :
“Sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah dalam dua keadaan dia berbuat baik, sesungguhnya dia telah berpegang pada ikatan yang teguh.”
Menyerah diri kepada Allah adalah mengikhlaskan niat dan beramal kerana-Nya. Membuat baik pula adalah mengikut sunnah Rasulullah saw. Fudhail bin ‘Iyadh berkata tentang firman Allah taala (al-Mulk : 2) yang bermaksud :
“Supaya dia menguji kamu, siapakah di antara kamu yang baik amalannya.”
“Amalan yang paling baik ialah yang paling ikhlas dan yang paling benar.”Orang bertanya kepada beliau: “Wahai Abu Ali, apakah yang dimaksudkan dengan yang paling ikhlas dan benar itu?” Beliau menjawab : “Sesungguhnya sesuatu amalan itu, jika ia ditunaikan secara ikhlas sahaja tetapi tidak menepati kebenaran, maka ia tidak akan diterima. Begitu juga jika ia menepati kebenaran tetapi jika tiada ikhlas, maka ia juga tidak diterima. Amalan yang diterima ialah yang ikhlas dan menepati kebenaran. Ikhlas adalah semata-mata kerana Allah dan kebenaran adalah mengikut sunnah.”
Kemudian Fudhail membaca firman Allah Taala dalam surah al-Kahfi ayat 110 yang bermaksud :
“Sesiapa yang mengharapkan pertemuan dengan tuhannya, maka ia hendaklah melakukan amalan yang soleh dan tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu yang lain.”
Dari perkara di atas dapatlah kita ketahui bahawa niat yang ikhlas semata-mata tidak memadai supaya amalan diterima selagimana tidak bertepatan dengan sunnah dan syara’. Begitu juga amalan yang menepati syara’ tetapi tidak disertai dengan niat yang ikhlas kepada Allah tidak akan diterima.
Tanda-tanda Ikhlas
Ikhlas mempunyai banyak tanda dan alamatnya yang banyak. Ia terserlah di dalam kehidupan orang yang ikhlas akhlaknya dan pandangannya kepada diri sendiri dan manusia. Di antara tanda dan alamat tersebut ialah :
1. Beliau takutkan kemasyhuran dan sanjungan yang boleh membawa fitnah kepada diri dan agamanya. Lebih-lebih lagi jika beliau seorang yang berkebolehan. Beliau meyakini bahawa Allah menerima sesuatu berdasarkan batin bukannya zahir, jika seseorang manusia itu memiliki kemasyhuran di seluruh pelusuk dunia sekalipun, sedangkan niatnya bercampur-baur, maka ia tidak memberi apa-apa makna.
Inilah yang menjadikan ramai di kalangan ulama’ salafussoleh takut kalau hati-hati mereka ditimpa fitnah kemasyhuran, kemegahan dan sanjungan. Mereka memberi amaran kepada murid-murid mereka tentang perkara tersebut. Ibrahim bin Adham berkata :“Orang yang kasihkan kemasyhuran tidak berlaku adil terhadap Allah.”
Salim bin Hanzalah berkata :
“Ketika kami berjalan mengiringi Ubai bin Kaab, Umar melihat kepada beliau lantas memukulnya dengan cemeti. Ubai berkata : ‘ Lihatlah wahai Amirul Mukminin, apakah yang telah kamu lakukan?’ Umar menjawab : ‘ Ini adalah kehinaan kepada pengikut dan fitnah kepada orang yang diikut.”
Inilah pandangan tajam Saidina Umar yang berharga terhadap apa yang berlaku. Walaupun pada mulanya pada zahir yang remeh, tetapi ia akan memberi kesan yang besar terhadap para pengikut dan ketua yang diikuti.
Al Hassan berkata :
“Pada suatu hari Ibnu Mas’ud keluar dari rumahnya dan beliau diikuti oleh segolongan manusia. Beliau berpaling kepada mereka lantas berkata : ‘Mengapa kamu semua mengikut aku? Demi Allah jika sekiranya kamu mengetahui apa yang berlaku di dalam rumahku, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu yang mengikutiku.”
Al-Hassan berkata :
“Sesungguhnya bunyi sepatu orang-orang yang mengelilingi seorang lelaki boleh menggoncangkan hati orang-orang yang bodoh.” Pada suatu hari Al Hassan keluar lalu beliau diikuti oleh segolongan manusia. Beliau berkata : “Adakah kamu mempunyai hajat? Jika tidak, apakah yang akan menimpa kepada hati mukmin?”
Ayyub As Sakhaitani keluar bermusafir, lalu beliau dikelilingi oleh manusia yang ramai. Beliau berkata :
“Kalau tidak kerana aku mengetahui bahawa Allah swt mengetahui dalam hatiku bahawa aku benci kepada perkara ini, nescaya aku takut kemurkaan Allah swt.”
Ibnu Mas’ud berkata :
“Jadilah kamu sumber ilmu, lampu petunjuk, penunggu setia rumah, pelita di malam hari, hati-hati yang sentiasa baru, berpakaian buruk, kamu dikenal di kalangan ahli langit dan tidak dikenali oleh ahli bumi.”
Al Fudhail bin ‘Iyadh berkata :
“Jika kamu boleh membuatkan kamu tidak dikenali, maka lakukanlah. Apa salahnya jika kamu tidak dikenali? Apa salahnya jika kamu tidak dipuji? Apa salahnya jika kamu dikeji oleh manusia tetapi dipuji di sisi Allah swt?”
Janganlah difahami dari athar-athar di atas bahawa ia menyeru kepada bersembunyi dan mengasingkan diri. Sesungguhnya athar-athar tersebut dari pemimpin-pemimpin para du’at yang soleh dan mempunyai peninggalan yang baik dalam arena da’wah kepada masyarakat.
Tetapi hendaklah difahami secara keseluruhannya bahawa ia adalah kesedaran terhadap bahaya syahwat diri yang tersembunyi dan berwaspada terhadap lubang dan jendela yang mana syaitan dapat menyusup masuk melalui ke dalam hati manusia.
Kemasyhuran pada zatnya bukanlah suatu yang tercela. Tidak ada di sana orang yang lebih masyhur dari para Nabi dan Khulaf Ar Rasyidin. Tetapi jika kemasyhuran itu wujud tanpa berusaha bersungguh-sungguh dan tamak untuk mendapatkannya, maka tidaklah menjadi kesalahan walupun ada keburukannya. Itulah yang disebut oleh Imam Al Ghazali :
“Ia menjadi fitnah kepada orang-orang yang lemah, tidak kepada orang-orang yang kuat.”
2. Orang yang ikhlas sentiasa menganggap dirinya cuai terhadap Allah swt, lalai dalam melaksanakan ibadat, tidak dapat mengawal hati dan dimasuki oleh sifat megah dan taajub dengan diri sendiri. Bahkan beliau merasa takut kalau-kalau dosanya tidak diampunkan oleh Allah atu kebaikannya tidak diterima. Setengah para solehin menangis bersungguh-sungguh di dalam sakitnya. Lalu sebahagian daripada orang yang menziarahinya berkata : Mengapa kamu menangis? Sedangkan kamu telah berpuasa, bersembahyang malam, berjihad, bersedekah, menunaikan haji dan umrah, mengajar dan berzikir? Beliau menjawab : Manalah aku tahu sama ada perkara itu termasuk di dalam timbangan amalanku dan diterima di sisi Tuhanku? Sedangkan Allah berfirman di dalam surah al-Maidah ayat 27 :
“Sesungguhnya Allah hanya menerima dari orang yang bertaqwa.”
At Tirmizi meriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa :
“Aisyah, isteri Nabi saw berkata : ‘ aku bertanya Rasulullah saw tentang ayat ini (al Mukminin : 60) yang bermaksud :
“Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut.”
Aisyah berkata : ‘Adakah mereka itu orang yang meminum arak dan mencuri? Rasulullah menjawab : ‘Tidak, wahai anak as Siddiq, tetapi mereka ialah orang-orang yang berpuasa, bersembahyang dan bersedekah dalam keadaan mereka takut kalau-kalau amalan mereka tidak diterima. Merekalah orang-orang yang berlumba-lumba menuju kepada kebaikan.”
3. Beliau lebih suka melakukan amalan kebaikan secara tersembunyi dari amalan yang dipenuhi dengan iklan dan irama paluan kemasyhuran. Di dalam jamaah beliau lebih suka menjadi seperti tunjang pokok. Walaupun tunjang tersembunyi di dalam perut bumi dan tidak dapat dilihat mata, namun ia adalah asas untuk pokok itu tegak dan hidup.
Dari Umar Ibnu al Khattab ra bahawa beliau pergi ke masjid Rasulullah pada suatu hari. Beliau mendapati Mu’az bin Jabal duduk di sisi kubur Rasulullah saw dalam keadaan menangis. Umar bertanya : “Apakah yang membuatkan kamu menangis?” Mu’az menjawab : “Aku menangis kerana telah mendengar Rasulullah saw bersabda : ‘Sesungguhnya riya’ yang sedikit adalah syirik. Sesiapa yang memusuhi wali Allah, sesungguhnya dia telah berperang dengan Allah. Allah mengasihi orang-orang yang baik dan bertaqwa yang tidak dikenali. Apabila mereka hilang, orang tidak mencarinya dan apabila mereka ada, mereka, mereka tidak dipanggil dan dikenali. Hati-hati adalah lampu petunjuk, mereka keluar dari setiap tanah berdebu yang gelap.”
4. Sama sahaja di sisi beliau sebagai pemimpin atau tentera, selagi mana kedua-duanya adalah berkhidmat dengan da’wahnya. Hatinya tidak dapat dikuasai oleh perasaan cinta untuk muncul ke depan, berada di barisan hadapan, mahu menjadi pemimpin dan menjawat bahagian kepemimpinan. Bahkan mungkin beliau lebih mengutamakan untuk menjadi tentera biasa kerana takut berlaku cuai dalam melaksanakan kewajipan dan tugas kepimpinan. Dalam setiap perkara, beliau tidak berusaha untuk menjadi ketua dan tidak memintanya. Tetapi jika beliau dibebankan dengan tugas tersebut, beliau memikulnya dan memohon pertolongan dari Allah swt dalam melaksanakannya. Rasulullah saw menyifatkan golongan ini seraya bersabda yang bermaksud :
“Beruntunglah seorang hamba yang memegang tali kekang kudanya di jalan Allah dalam keadaan rambutnya kusut dan kakinya berdebu. Sekiranya beliau brtugas sebagai pengawal, beliau menjadi pengawal. Dan jika sekiranya beliau berada di belakang, beliau berada di belakang.”
Semoga Allah meredhai Khalid bin al Walid yang dilucutkan dari jawatan panglima tentera sedangkan ketika itu beliau adalah panglima tentera yang sentiasa menang dalam peperangan. Beliau lantas bekerja di bawah pimpinan Abu Ubaidah tanpa merasa gelisah ataupun menyesal.
5. Tidak menghiraukan keredhaan manusia jika disebaliknya adalah kemurkaan Allah swt. Sesungguhnya manusia berbeza-beza dari sudut tabiat, kecenderungan, cara berfikir dan matlamat mereka. Jadi percubaan untuk mendapat keredhaan mereka adalah satu matlamat yang tidak akan tercapai. Orang yang ikhlas tidak menyusahkan dirinya dengan perkara ini. Slogannya bersama Allah swt ialah :
Semoga kamu merasai kemanisan,
sedangkan kehidupan itu penuh kepahitan,
Semoga kamu menjadi redha,
sedangkan manusia marah,
Semoga ada orang memakmurkan,
di antara aku dan kamu,
sedangkan di antara aku dan dunia ada kehancuran,
Jika benarlah kamu mempunyai perasaan kasih,
maka semuanya menjadi mudah,
dan setiap sesuatu yang berada di atas tanah
adalah tanah…
6. Hendaklah cinta dan benci, memberi dan menahan, redha dan marah, semuanya kerana Allah swt dan agamanya, bukan kerana diri dan manfaatnya. Beliau tidak menjadi orang seperti orag-orang yang mengejar manfaat yng terdiri dari golongan munafiq yang dicela Allah di dalam kitabNya ( surah at Taubah : 58 ) yang bermaksud :
“Dan di antara mereka ada yang mencelamu tentng pembahagian zakat. Jika mereka diberi sebahagian daripadanya mereka bersenang hati, dan jika mereka tidak diberi sebahagian daripadaya dengan serta merta mereka menjadi marah.”
Kadang-kadang saudara dapat melihat segelintir manusia yang bekerja di dalam medan da’wah, apabila ditegur oleh salah seorang saudaranya dengan perkataan yang menyakitkan hatinya, atau perasaannya dilukakan dengan perbuatan yang menyinggung jiwanya serta orang yang rapat dengannya atau kaum kerabatnya, beliau cepat marah dan melenting lalu meninggalkan amal dan harakah serta mengasingkan diri dari medan jihad.
Ikhlas kepada matlamat menuntutnya agar terus berada dalam da’wahnya, tetap kekal arah tujuannya walaupun dituduh salah, cuai dan melampau oleh orang lain. Ini adalah kerana beliau beramal kerana Allah swt, bukan kerana dirinya, keluarga atau orang tertentu di kalangan manusia.
Da’wah Allah bukan dimonopoli atau menjadi milik seseorang. Ia adalah da’wah kepada semua manusia. Mukmin tidak boleh meninggalkan da’wah kerana pendirian dan perbuatan-perbuatan tadi.
7. Beliau tidak bersifat malas, lembap atau ketinggalan kerana perjalanan yang jauh, buah yang lambat dapat dipetik, lambat mendapat kejayaan dan penat bekerja dalam menghadapi manusia yang bermacam ragam. Beliau tidak bekerja untuk berjaya atau mencapai kemenangan semata-mata, bahkan semata-mata kerana mencari keredhaan Allah swt dan mematuhi perintahNya.
Sesungguhnya Allah tidak bertanya manusia pada hari kiamat : “Mengapa kamu tidak mencapai kemenangan?” tetapi Dia akan bertanya : “ Mengapa kamu tidak berjuang?” Dia tidak akan bertanya mengapa mereka tidak berjaya, tetapi bertanya kenapa mereka tidak bekerja.
8. Gembira dengan setiap kemunculan orang yang mempunyai kelayakan dalam barisan orang-orang yang bekerja untuk membawa panji-panji, memberi saham kepada amal dan memberi peluang kepada setiap yang berkebolehan menggantikan tempatnya tanpa cuba menyekat dan menghalangnya, atau menghina dan marah kepadanya. Bahkan kita melihat bahawa orang yang ikhlas itu, apabila melihat ada orang yang lebih baik darinya dalam memikul tugas, beliau mengundur diri dalam keadaan redha. Beliau akan mengutamakan orang itu dari dirinya dalam keadaan taat dan bahagia kerana beliau mengundur setapak ke belakang.
Keperluan Ikhlas Dalam Memikul Da’wah
Sesungguhnya bekerja untuk kedaulatan Islam dan mengembalikannya untuk memimpin kehidupan dengan aqidahnya, syariat, akhlak dan tamadunnya merupakan ibadat dan amalan yang mendekatkan diri dengan Allah swt. Mengikhlaskan niat semata-mata kerana Allah swt dalam ibadat adalah satu perkara asasi untuk amalan diterima dan berjaya. Niat yang bercampur-baur merosakkan amalan, mencemarkan jiwa, melemahkan saf dan menghilangkan pahala.
Kerana rahsia inilah Imam al Bukhari memulakan kitabnya ‘ Al Jami’ As Sahih’ dengan hadith yang dianggap oleh sesetengah ulama’ sebagai satu perempat Islam atau satu pertiga darinya yang bermaksud :
“Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat, dan sesungguhnya bagi seseorang itu apa yang diniatkannya. Sesiapa yang hijrahnya itu kerana Allah dan rasulnya, maka hijrahnya itu kepada Allah dan rasulnnya. Sesiapa yang hijrahnya kerana dunia yang akan didapatinya atau kerana perempuan yang akan dikahwininya, maka hijrahnya adalah bergantung kepada tujuan dia berhijrah.”
Diriwayatkan bahawa sebab datangnya hadith ini adalah kerana seorang lelaki yang berhijrah ke Madinah kerana seorang perempuan yang dicintainya yang bernama Ummu Qais. Maka beliau digelar sebagai ‘ penghijrah Ummu Qais’.
Akh Muslim mestilah memeriksa sudut-sudut hatinya terhadap hakikat niatnya dan faktor pendorongnya. Jika ia mempunyai ruang untuk dunia dan syaitan, beliau berusaha untuk membersihkan hatinya dari perkara tadi dan mentuluskan niatnya kepada Allah swt. Beliau hendaklah memberi peringatan kepada dirinya dalam keadaan membebaskan diri dari menjadi abdi kepada yang lain sebagaimana ucapan isteri Imran (surah Ali Imran : 35) yang bermaksud :
“Wahai tuhanku, sesungguhnya aku telah nazarkan anak yang ada dalam kandunganku untuk memperhambakan diri kepadaMu. Kerana itu terimalah nazar itu daripadaku. Sesungguhnya Engkau Tuhan yang maha mendengar lagi maha mengetahui.”
Kalimah ‘muharraran’ (memperhambakan) yang disebut oleh ibu Maryam ini menunjukkan bahawa sudah menjadi sunnah Allah, Allah tidak menerima mana-mana amalan melainkan ianya ikhlas semata-mata keranaNya, tidak bercampur dengan yang lain dan bebas dari setiap ubudiyh kepada yang lain.
Sesungguhnya kebenaran tidak akan memimpin, kebaikan tidak akan tersebar, keadilan tidak akan tertegak, panji-panji kemuliaan akan jatuh dengan wujudnya orang-orang yang menggadaikan prinsip semata-mata mencari keuntungan duniawi dan orang-orang yang bersifay riya’ yang hanya mahu diri mereka dilihat orang, kata-kata mereka didengar, mereka menjadi buah mulut masyarakat dan boleh mengarahkan orang lain dengan jari telunjuk. Kebenaran, kebaikan dan kemuliaan hanya akan tegak dengan orang-orang yang ikhlas, yang berpegang teguh dengan prinsip, yang boleh mempengaruhi orang lain, bukan dipengaruhi. Mereka adalah orang-orang yang berkorban bukannya mengambil manfaat, memberi bukannya mengambil.
Penyakit-penyakit hati yang bercampu-baur dengan ikhlas dan merosakkan niat lebih bahaya dari penyakit tubuh badan. Ia boleh menggugurkan pahala dan menjauhkan orang dari jalan da’wah yang betul. Ia memang wujud dalam diri kita, tetapi kita boleh membendungnya dengan iman dan taqwa. Perkara ini memerlukan kesedaran dari kita, sentiasa muhasabah niat dan membersihkannya dari bercampur dengan penyakit-penyakit hati.
Anhar: MEMAHAMI DALIL HUKUM
Anhar: MEMAHAMI DALIL HUKUM: "Salam ustaz, ada segolongan saudara seislam kita ini telah mengamalkan satu perkara yakni setiap tindakan atau amalan mestilah ada dalil. se..."
PERBEZAAN TAFSIR IBNU KATSIR DAN AL-MARAGY
Al-Quran merupakan sebuah kitab suci yang diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada Rasulullah s.a.w. dengan perantaraan malaikat Jibril a.s. Isi kandungan al-Quran menyeru kepada umat manusia supaya meneliti, memahami dan mengambil iktibar di atas apa yang termaktub di dalamnya. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Nisa’:
Maksudnya: Maka tidakkah mereka menghayati (mendalami) al-Quran? Sekiranya al-Quran itu bukan dari Allah, pastilah mereka menemukan banyak hal yang bertentangan di dalamnya.[1]
Oleh kerana itu, ia adalah merupakan unsur yang penting dalam kehidupan manusia. Pendekatan tersebut telah digunakan oleh ulama-ulama dahulu iaitu golongan al-salaf al-soleh,[2]. Golongan ini memahami segala intipati yang terdapat di dalam al-Quran. Seterusnya mempelajari dan mengamalkannya. Oleh itu, untuk memahami al-Quran seseorang itu perlu mahir dalam asas-asas yang dikenali sebagai Usul Tafsir.
2.0 Ulasan Tafsir
Maksudnya: dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi soleh. ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadanya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata (mukjizat) dari Tuhan kamu: ini adalah seekor unta betina (dari) Allah sebagai keterangan bagi kamu (membuktikan kebenaranku). oleh itu, biarkanlah unta itu mencari makan di bumi Allah, dan janganlah kamu menyentuhnya Dengan sesuatu yang menyakitinya; (kalau kamu menyentuhnya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.[3]
2.1 Tafsir Ibnu Kathir
Ahli mufassir mengatakan bahawa Tsamud bin ‘Atsir bin Iram bin Saam bin Nuh, ialah saudara Jadis bin ‘Atsir. Demikian juga dengan kabilah Thasm. Mereka semua adalah kabilah daripada Arab ‘Aribah iaitu Arab asli. Mereka hidup sebelum Nabi Ibrahim a.s. Kaum Tsamud muncul setelah kaum ‘Aad. Mereka tinggal di sebuah tempat yang terkenal iaitu diantara Hijaz dan Syam sehingga ke lembah al-Qura dan sekitarnya. Pada Zaman Rasulullah s.a.w, baginda pernah pergi ke tempat tersebut ketika baginda hendak berangkat ke Tabuk pada tahun kesembilan hijrah.
Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abdullah bin Umar telah berkata: “Rasulullah s.a.w. ketika berada di Hijr (daerah kaum Thamud), beliau bersabda:
(لا تدخلوا على هؤلاء المعذبين , إلا أن تكونوا باكين , فإن لم تكونوا باكين , فإن لم تكونوا با كين فلا تدخلوا عليهم أن يصيبكم
مثل ما أصا بهم.)
Maksudnya:“Janganlah kalian masuk ke tempat orang-orang yang disiksa itu kecuali jika kalian dalam keadaan menangis. Jika tidak dapat menangis, maka janganlah kalian memasukinya, dikhuwatirkan kalian tertimpa seperti apa yang telah menimpa mereka.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Asal hadith di atas adalah dikeluarkan di dalam Sahih Bukhari dan juga Sahih Muslim. Firman Allah s.w.t kepada kaum Tsamud yang bermaksud “dan kepada Tsamud” iaitu Kami mengutuskan kepada kabilah Tsamud dikalangan saudara mereka sendiri iaitu Nabi Soleh a.s. Nabi Soleh pun berkata kepada kaumnya “Hai Kaumku, beribadahlah kepada Allah s.w.t., tidak ada Ilah bagimu selainnya.” Berdasarkan ayat di atas, maka seluruh Rasul-rasul Allah s.w.t menyeru supaya beriman kepda Allah s.w.t. Hal ini bersandarkan firman Allah:
Maksudnya: Dan Kami tidak mengutus sebelummu (Wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: "Bahawa Sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu, Beribadatlah kamu kepadaku".[4]
Selanjutnya firman Allah, mafhumnya: “Sesungguhnya telah datang bukti yang nyata kepadamu dari Rabbmu. Unta betina Allah s.w.t. ini menjadi tanda bagimu. Hal ini diterangkan lagi dengan mengatakan telah datang kepada kamu hujah daripada Allah s.w.t yang membenarkan aku membawanya. Sebelum itu, mereka meminta Nabi Soleh a.s. agar dia mendatangkan untuk mereka (kaum Tsamud) satu tanda dan menyusulkan supaya dia mengeluarkan seekor unta betina yang hamil dari sebongkah batu besar yang keras yang mereka lihat sendiri dengan mata mereka sendiri. Batu tersebut satu-satunya batu yang terletak di sisi Hijr. Batu tersebut diberi nama al-Khaatibah. Kemudinya Nabi Soleh pun mengikat janji dengan mereka iaitu jika Allah s.w.t. menunaikan permintaan mereka, maka mereka akan beriman dengannya.
Setelah daripada perjanjian tersebut, Nabi Soleh a.s. menunaikan solat 2 rakaat dan berdoa kepada Allah s.w.t. Setelah itu batu yang besar itu bergegar dan retak. Akhirnya keluarlah daripada batu tersebut seekor unta betina dan hamil seperti yang mereka minta. Pada saat itu, ketua pimpinan mereka iaitu yang bernam Junda’ bin ‘Amr dan orang-orang bersamanya beriman kepada Nabi Soleh a.s. kemudian diikuti oleh kau bin ‘Amr Tsamud yang lain tetapi telah dihalang oleh Dzu’a bin ‘Amr bin Labid dan al-Hubab, iaitu seorang penjaga berhala mereka serta seorang lagi iaitu Rabab bin Sha’ar bin Jalhas. Junda’ bin ‘Amr mempunyai saudara sepupu yang bernama Syihab bin Khalifah bin Muhilat bin Labid bin Haras, termasuk juga dikalangan kaum Tsamud yang terhormad dan dipandang tinggi. Mereka telah memeluk Islam. Namun begitu mereka telah dihalangi oleh mereka itu. Akhirnya mereka juga terpengaruh dengan golongan tersebut dan keluar semula daripada Islam.
Setelah unta itu melahirkan anak dan anak tersebut tinggal beberapa saat dalam kalangan mereka. Mereka meminum susu unta betina tersebut. Mereka juga memerah susunya sehingga mereka mengisinya semua bekas dan bejana sesuka hati mereka. Sebagaimana dalam ayat lain Allah berfirman:
Maksudnya: Dan khabarkanlah kepada mereka, Bahawa Sesungguhnya air (telaga mereka) terbahagi di antara mereka Dengan unta itu, tiap-tiap bahagian air itu dihadiri oleh yang berhak mengambilnya (pada hari gilirannya).[5]
Kemudian Allah berfirman lagi:
Maksudnya: Bagaimana mereka dapat beringat (menyempurnakan janji mereka hendak beriman itu)? pada hal mereka telah pun didatangi seorang Rasul Yang memberi keterangan-keterangan (yang cukup untuk mereka beriman)!
Unta betina itu bebas untuk berkeliaran di lembah tersebut. Ada yang berpendapat bahawa unta tersebut merupakan makhluk yang besar dan menakjukkan sehinggakan apabila berjalan melewati benatang-binatang lain. Semakin hari mereka mendustakan nabi Soleh a.s. iaitu mereka ingin membunuh unta tersebut sehinggakan mereka telah bersepakat untuk membunuh unta tersebut. Menurut Ibnu Katsir[6] sendiri mengatakan “ Dan itulah lahiriah dari firman Alllah s.w.t.:
Maksudnya: (setelah Nabi soleh memberi amaran) lalu mereka mendustakannya serta menyembelih unta itu. Dengan sebab dosa mereka, maka Tuhan menimpakan mereka Dengan azab Yang membinasakan serta ia meratakan azab itu meliputi mereka (sehingga punah-ranah semuanya).”[7]
Firman Allah lagi dalam ayat lain:
Maksudnya: Dan tiada yang menghalang Kami dari menghantar turun mukjizat yang mereka minta itu melainkan kerana jenis mukjizat itu telah didustakan oleh kaum-kaum yang telah lalu; dan di antaranya Kami telahpun memberikan kepada kaum Thamud unta betina sebagai mukjizat yang menjadi keterangan yang nyata, lalu mereka berlaku zalim kepadanya; dan biasanya Kami tidak menghantar turun mukjizat-mukjizat itu melainkan untuk menjadi amaran (bagi kebinasaan orang-orang yang memintanya kalau mereka tidak beriman).[8]
Kemudiannya mereka membunuh unta tersebut. Ahli tafsir termasuk Imam Abu Ja’far berpendapat bahawa antara sebab unta tersebut dibunuh ialah terdapat seorang wanita yang bernama ‘Unaizah binti Ghanam bin Maljaz yang memusuhi Nabi Soleh a.s. selain itu, seorang wanita yang bernama Shadaqah binti al-Muhaya bin Zuhair bin Mukhtar juga salah seorang yang memusuhi Nabi Soleh a.s. oleh itu, Shadaqah telah mengupah al-Hubab tetepi al-Hubab menolak permintaan tersebut. Atas kejadian tersebut dia memanggil pula sepupunya iaitu Masda’ bin al-Muhayya manakala ‘Unaizah pula memanggil Qidar bin Salif bin Jidz’i. ‘Unaizah telah menawarkan anaknya kepada Qidar jika dia dapat membunuh unta betina Nabi Soleh tersebut.
Di atas tawaran tersebut maka Qidar telah menyeru sahabatnya. Maka dengan itu, jadilah jumlah mereka sebanyak sembilan orang. Dan mereka itulah disebutkan oleh Allah s.w.t. melalui firmannya:
Maksudnya: Dan di bandar (tempat tinggal kaum Thamud) itu, ada sembilan orang yang semata-mata melakukan kerosakan di bumi (dengan berbagai-bagai maksiat) dan tidak melakukan kebaikan sedikitpun.[9]
Tanpa berlengah mereka berangkat untuk membunuh unta tersebut. Pada ketika itu unta tersebut sedang pulang daripada sumber air. Dalam perjalanan itulah sembilan orang upahan tersebut berjaya membunuh unta betina tersebut. Manakala anaknya berlari ke sebuah gunung. Diriwayatkan oleh ‘Abdul Razak, dari Ma’mar dari seseorang yang mendengar al-Hasan al-Basri berkata: “ Anak unta tersebut mengeluh: “Ya Rabbku, di mana Ibuku.” Dan disebutkan juga bahawa anak unta tersebut mengeluh tiga kali, kemudiaannya masuk ke dalam batu dan hilang.
Setelah selesai menyembelih unta tersebut, berita tersebut sampai kepada Nabi Soleh a.s. lalu pergi berjumpa dengan mereka. Pada ketika itu mereka berkumpul dihadapan sembelihan tersebut. Melihat peristiwa tersebut Nabi Soleh a.s. pun menangis dan berkata:
Maksudnya: Mereka kemudiannya menyembelih unta itu, lalu berkatalah Nabi soleh a.s. kepada mereka: Bersenang-senanglah kamu di tempat masing-masing selama tiga hari; tempoh Yang demikian itu, ialah suatu janji Yang tidak dapat didustakan".
Selepas daripada 3 hari maka bala Allah s.w.t yang berbentuk teriakan suara keras dari langit dan gempa bumi yang dasyat. Maka jadilah mereka mayat-mayat yang bergelimpangan di tempat tinggal mereka. Para ahli tafsir mengatakan tiada seorang pun terselamat daripada kaum Tsamud kecuali Nabi Soleh a.s. dan pengikutnya. Demikiaan itu bekatalah Nabi Soleh a.s. kepada kaumnya: “Sesungguhnya aku telah memberi nasihat kepada kamu tentang Rabbku tetapi kamu tidak menyukai orang yang memberi nasihat.”
2.2 Tafsir Maraghy
Maksudnya: Dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi soleh. ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadanya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata (mukjizat) dari Tuhan kamu; ini adalah seekor unta betina (dari) Allah s.w.t. sebagai keterangan bagi kamu (membuktikan kebenaranku). oleh itu, biarkanlah unta itu mencari makan di bumi Allah, dan janganlah kamu menyentuhnya Dengan sesuatu yang menyakitinya; (kalau kamu menyentuhnya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Tsamud merupakan salah satu khabilah Arab yang mendiami al-Hijr yang terletak di antara Hijaz dan Syria sehingga ke Wadil Qura. Khabilah ini diberi nama dengan berdasarkan nama datuk mereka iaitu Thamud ibnu Sam ibnu Nuh. Pertalian persaudaraan mereka dengan nabi Soleh a.s. adalah persaudaraan nasab seperti persaudaraan Nabi Hud a.s. dengan kaumnya.
Kaum Tsamud telah diutuskan oleh Allah s.w.t kepada saudara mereka Nabi Soleh a.s. Nabi Soleh a.s. telah berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku, sembahlah Allah s.w.t., tiada sekutu bagi-Nya. Kamu tidak mempunyai Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah s.w.t. Sesungguhnya telah datang kepada kamu bukti kebenaran daripada apa yang dikatakan tadi dan aku menyeru dengan penuh keikhlasan dalam mentauhidkan Allah s.w.t. dan kepadanya sahaja yang berhak disembah tanpa penyembahan yang lain.”
Ucapan Nabi Soleh a.s. tersebut merupakan petunjuk bahawa mukjizat bukanlah daripada perbuatannya sendiri tetapi semuanya daripada Allah s.w.t. Segala kekuatan yang ada pada rasul-rasulnya adalah hasil daripada anugerah Allah s.w.t. Kata-kata tersebut telah disampaikan kepada mereka setelah mereka menerima nasihat dan peringatan tentang nikmat-nikmat Allah s.w.t yang dianugerahkan kepada mereka dan setelah mereka mengingkari Nabi Soleh a.s. hal ini telah dinyatakan dalam firman Allah s.w.t.:
Maksudnya: “….Dialah yang menjadikan kamu daripada bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya….”[10]
Nabi Soleh a.s. telah disuruh oleh kaumnya untuk mengeluarkan seekor unta betina daripada sebuah batu yang besar sebagai tanda kenabiaanya. Unta betina tersebut telah dikaitkan dengan Allah s.w.t kerana kejadiannya yang istimewa. Unta tersebut bukannya hasil daripada kejadian yang biasa. Kejadian tersebut merupakan satu tanda kekuasaan Allah s.w.t. Nabi Soleh a.s. telah menyebut kewujudan unta betina tersebut sebagai satu ayat. Nabi Soleh a.s berkata kepada kaumnya: “Sesungguhnya bumi adalah hak Allah s.w.t dan unta betina ini juga hak Allah s.w.t jangnlah kamu menghalang dan megganggunya. Sesungguhnya kamu akan ditimpa azab yang pedih”. Dalam Surah Hud menceritakan azab yang dikenakan kepada kaum Tsamud selepas tiga hari mereka mengganggu unta betina tersebut.
3.0 Perbandingan Tafsir
Berdasarkan kepada kedua-dua kitab tafsir ini iaitu Tafsir Ibnu Kathir dan juga kitab Tafsir al-Maraghy menunjukkan bahawa terdapat perbezaan yang jelas dari segi method penafsirannya kedua-dua kitab tersebut. Tafsir Ibnu Kasthir merupakan Tafsir bil Mathur. Dalam tafsir tersebut telah menceritakan kisah Nabi Soleh a.s. dengan mendatangkan banyak riwayat. Contohnya cerita yang diriwayatkan oleh ‘Abdurrazaq dari Ma’mar kemudian mendengar daripada Hasan al-Basri mengenai kisah anak unta mengeluh dengan menyebut “Ya Rabbku, di mana ibuku”. Da disebutkan juga anak unta tersebut mengeluh sebanyak tiga kali ( perenggan ke-2 Tafsir Ibnu Kathir juzuk 8 pada halaman 411) Kisah tersebut bersandar sepenuhnya kepada kisah-kisah Israilliyat. Namun begitu, kisah-kisah tersebut bersandarkan daripada al-Quran dan As-Sunnah. Hal ini diceritakan sendiri oleh pengarang kitab ini.[11] Segala jalan penceritaan dihuraikan secara meluas, mudah difahami dan banyak maklumat diperolehi. Manakala bagi Tafsir al-Mraghy[12] pula, ia merupakan sebahagian daripada Tafsir Kontemperori. Tafsir ini tidak banyak mendatangkan riwayat-riwayat seperti Tafsir Ibnu Kasthir. Cara penafsiran yang digunakan ialah mendatangkan satu ayat dan menafsirkan ayat tersebut. Hal ini sama seperti kaedah yang digunakan dalam Tafsir Ibnu Kathir. Kelebihan Tafsir al-Maraghy ini ialah ia mendatangkan erti perkataan sebelum bermulanya penafsiran ayat. Contohnya kalimah “Thamud”, “al-Bayyinah” dan sebaganya.[13].
4.0 kesimpulan
Secara kesimpulannya, cerita Nabi Soleh a.s. terdedah kepada Israilliyat iaitu kisah-kisah yang ditambah-tambah atau direka-reka. Jadi, kita seharusnya meneliti serta mengambil berat mengenai hal ini. Apa yang diperolehi dalam Tafsir Ibnu Kathir iaitu penulis mengingatkan pembaca dan pengkaji ilmu tafsir tentang riwayat-riwayat israilliyat yang tertolak atau berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah. Berbeza dengan Tafsir al-Maraghy yang mendatangkan ayat seterusnya mentafsir mengikut ayat tersebut. Jika dilihat dari segi kemasukan Israilliyat maka akan nampak bahawa tafsir Ibnu Kasthir lebih banyak terdedahnya pada Israilliyat kerana banyak jalan penceritaannya berbanding tafsir al-Maraghy. Di sini juga dapat dilihat tentang kelebihan yang terdapat dalam tafsir bil ma’thur dan juga tafsir al-Ra’yi.
4.0 Rujukan
1) Penyusun: Dr Abdullah bin Muhammad bin Abdul Rahman bin Ishak al-Sheikh, Tafsir Ibnu Kathir, Jilid 3, Pustaka Imam Asy-Syafi’I, Jakarta 2003.
2) Ahmad Mustafa al-Maraghiy, penterjemah: Muhamad Thalib, Tafsir al-Maraghy, Dewan bahasa dan Pustaka, Malaysia 2001.
[1] Surah al-Nisa’: 82.
[2] Merupakan generasi pertama umat Islam yang hidup sezaman dengan baginda Rasulullah s.a.w sehingga abd yang ke-3. Mereke terdiri daripada tabi’in, tabi’ tabi’in dan atba’ al-thabi’in.
[3] Surah al-A’raaf: 73
[4] Surah al-Anbia’: 25
[5] Surah al-Qamar: 28
[6] Nama ‘Imad al-Din Ismail bin ‘Amr bin Kathir al-Basri al-Dimsyiqi. Wafat pada tahun 774H.
[7] Surah al-Syams: 14
[8] Surah al-Isra’: 59
[9] Surah al-Naml: 48
[10] Surah Hud: 61
[11] Dr Abdullah bin Muhammad bin Abdul Rahman bin Ishak al-Sheikh, Tafsir Ibnu Kathir, Jilid 3, m/s 413.
[12] Ahmad Mustafa al-Maraghiy, penterjemah: Muhamad Thalib, Tafsir al-Maraghy.
[13] Ahmad Mustafa al-Maraghiy, penterjemah: Muhamad Thalib, Tafsir al-Maraghy, Jilid 4 juzuk 7 dan 8. m/s 2269.
ISRAILLIYAT-KISAH TABUT-
1.0 Pendahuluan
Al-Quran merupakan satu mukjizat yang diturunkan oleh Allah s.b.t. melalui perantaraan Malaikat Jibril a.s. kepada Rasulullah s.a.w. Al-Quran juga merupakan ‘al-Huda’ kepada seluruh manusia dan ianya sesuai sepanjang zaman, keadaan,dan juga tempat. Kesan daripada itu, al-Quran memerlukan satu penafsiran yang kukuh dan kuat bagi memudahkan orang awam untuk memahami isi kandungan al-Quran dan seterusnya dapat menghayati segala isi kandungannya. Setiap penafsiran yang dilakukan, jika tidak berhati-hati akan menyebabkan mudahnya unsur-unsur Israiliyyat dan pendustaan memasuki ke dalam kitab-kitab tafsir. Unsur-unsur Israiliyyat ini menyerap masuk ke dalam kitab tafsir kerana sikap ambil mudah pentafsir. Mereka terus menukilkan tafsir tanpa mengira kesahihan cerita tersebut. Mereka juga mentafsir ayat al-Quran secara terus tanpa meneliti dan mengambil penafsiran tersebut daripada riwayat-riwayat yang salah dan jauh terpesong dari tafsir yang sebenar. Rentetan daripada itu, maka telah banyak unsur-unsur Israilliyat telah dikesan dalam kitab-kitab tafsir terutamanya banyak terdapat dalam kisah-kisah para nabi.
1.1 Definisi Israilliyat
‘Israilliyat’ diambil daripada perkataan jamak dan mufradnya ialah ‘Israilliyah’. Perkataan Israilliyah ini telah dinisbahkan kepada keturunan Israel. Israel ini pada mulanya ialah berasal daripada nama seorang nabi iaitu Nabi Ya’qub bin Nabi Ishaq a.s yang bermaksud Hamba Allah yang taat. Selepas itu, anak cucu Ya’qub dikenali sebagai ‘Bani Israel’.[1] Manakala keturunan Nabi Isa a.s pula, dikenali sebagai ‘Nasara’ atau ‘Nasrani’. Bagi yang yang beriman dengan Nabi Muhammad s.a.w. dikenali sebagai ‘Muslim ahl al-Kitab’.
Israilliyat menurut istilah ialah kisah-kisah yang di dalamnya terdapat unsur-unsur kisah Yahudi yang menyerap masuk dalam dalam kalangan masyarakat Islam melalui kita-kitab tafsir al-Quran. Ianya banyak berlaku pada zaman Tabi’in. Namun begitu, ulama tafsir dan hadith telah menggunakan istilah Israilliyat ini dalam konteks yang lebih luas iaitu setiap kisah atau cerita lama yang diadakan, mereka memasukkannya di dalam tafsir mereka. Ada juga ulama tafsir dan hadith menganggap Israilliyat adalah setiap kisah yang direka-reka atau dicipta oleh musuh-musuh Islam dan dimasukkan ke dalam tafsir dengan tujuan untuk merosak serta menjatuhkan kesucian umat Islam. Hussin al-Dahabi telah menukilkan makna Israilliyat dalam kitab Tafsir al-Mufassirun iaitu cerita yang diambil dari sumber Bani Israel. Ia adalah kata jamak dari Israilliyah dan merupakan nisbah kepada keturunan nabi Ya’qub dan Ishaq bin Ibrahim yang mempunyai 12 keturunan dan perkataan Israilliyat juga digunakan berdasarkan kebiasaan domiannya penglibatan orang Yahudi dalam menyebarkan berita-berita palsu berbanding kaum lain. Manakala menurut pendapat Solah al-Kholidi mengatakan iaitu Israilliyat ialah istilah yang digunakan oleh orang Islam terhadap sebarang perkhabaran palsu.
1.2 Riwayat Israilliyat
Dalam Israilliyat ini juga terdapat riwayat-riwayat. Secara umumnya, boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu yang pertama, Israilliyat yang betul dan bertepatan dengan nas-nas al-Quran dan hadith. Israilliyat daripada bahagian ini mestilah diriwayatkan berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w dan sahih. Seperti mana yang diriwayatkan dalam hadith al-Bukhari:
بلغوا عني ولو ايه, وحدثا عن بني إسرائل لا حرج , ومن كذب على متعمدا فليتبوا مقعده من النار
Mafhumnya: “Sampaikan daripada aku walaupun satu ayat. Perkatakanlah kisah-kisah Bani Israel dan ianya bukanlah menjadi suatu kesalahan. Dan sesiapa yang berdusta terhadapku maka disediakan baginya tempat di dalam neraka.”
Riwayat yang kedua iaitu Israilliyat yang bercanggah dengan nas al-Quran dan Hadith, bahkan menyakahi logik akal. Israilliyat sebegini idak harus diriwayatkan. Seterusnya yang ketiga iaitu Israilliyat yang ‘Maskut ‘Anhu’. Ianya tidak disokong oleh nas-nas al-Quran dan al-Sunnah iaitu bukan dari bahagian yang pertama dan yang kedua. Bagi bahagian ini tidak perlu untuk membenarkan atau mendustakan. Tetapi harus diriwayatkan.
1.3 Pengaruh Israilliyat dalam kitab tafsir
Kemasukan Israilliyat ke dalam kitab tafsir ialah bermula dengan masuknya peradaban Bani Israel yang telah berhijrah ke Semenanjung Arab ke dalam peradaban arab pada zaman Jahiliah. Peradaban itu juga disebut sebagai ‘thaqafah’. Bangsa Yahudi telah membawa segala ilmu-ilmu yang diambil daripada kitab-kitab agama mereka, dan kebanyakan perkara yang berkaitan dengannya. Bahkan mereka juga mewarisi dari sau generasi kepada satu generasi bermula daripada nabi-nabi mereka dan ahli kitab mereka. Mereka juga mempunyai sekolah yang dikenali sebagai ‘al-midras’ sebagai tempat untuk mereka mendalami ilmu mereka serta mempelajari setiap perkara yang diwarisi. Mereka juga mempunyai tempat-tempat untuk beribadah untuk menegakkan syiar agama mereka.
Setelah pada itu, datang pula ajaran Islam dan kitab Allah s.b.t. Dalam kitab tersebut telah terkandung di dalamnya ilmu dan juga agama. Seterusnya tersebar luas dalam kalangan penduduk di Semenanjung Arab. Pada zaman kegemilangan Islam, pusat pemerintahan Islam terletak di Madinah. Ianya diterajui oleh junjungan besar Rasulullah s.a.w. yang merupakan nazir pada masa itu. Baginda telah menubuhkan masjid yang diberi nama Masjid al-Nabawi untuk mendidik para sahabat serta mengadakan majlis-majlis ilmu. Pada masa itu juga, kedapatan di sekitar Kota Madinah golongan Yahudi yang tinggal bermukim seperti Bani Quraizah, Bani al-Nadir, Yahudi Taima’ dan lain-lain.
Pada masa itu juga, terdapat juga pendeta-pendeta atau ahli kitab Yahudi telah masuk agama Islam. Contohnya seperti Abdullah bin Salam r.a. Mereka telah menjadi tempat rujukan kepada sahabat-sahabat mengenai kisah-kisah yang sama yang terdapat dalam al-Quran dan Taurat. Namun begitu, para sahabat Rasulullah s.a.w. tidak menerimanya secara terus akan tetapi mereka merujuk juga kepada syarak dan logik akal. Mereka akan menolak sekiranya kisah yang sampai kepada mereka itu tidak boleh diterima akal dan syarak.
Orang-orang Arab yang timbul keinginan dalam kalangan mereka untuk mengetahui mengenai kejadian makhluk dan rahsia kejadian makhluk, mereka akan cenderung untuk bertanya kepada ahli kitab dari kalangan Yahudi dan Nasrani. Antara tempat rujukan mereka seperti Ka’ab bin al-Ahbar, Abdullah bin Salam dan Wahab bin Munabbih. Hal ini kerana, terdapat banyak kisah-kisah Israilliyat yang diriwayatkan oleh mereka dalam kitab-kitab tafsir.
1.4 Definisi Tabut
Allah berfirman :
Mafhumnya: “Dan Nabi mereka, berkata lagi kepada mereka: "Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya dari Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa dari Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi-nabi Musa dan Harun; peti Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman”.
Tabut dari segi istilah ialah sunduk; kotak, peti, keranda dan lain-lain. Dalam kamus mesir juga ada mendefinisikan Tabut sebagai ‘kayu penanda kubur’. Dalam Tafsir al-Munir, 1/800, Sheikh Dr Wahbah al-Zuhaili mengatakan bahawa Tabut ialah sunduk atau kotak yang terpelihara di dalamnya iaitu Kitab Taurat, dan diriwayatkan juga kotak tersebut diperbuat daripada kayu bersalut emas. Al-‘Amalqa telah mengambil peti tersebut dan telah dikembalikan kepada Bani Israel. Kemudiannya orang Palestine telah mengambilnya semula dan akhirnya diberikan kepada Talut.
Dalam kitab Tafsir Fi Zilal al-Quran telah menyatakan bahawa malaikat telah membawa peti tersebut yang berisi Kitab Taurat dan diberikan kepada Talut. Peti tersebut merupakan hasil daripada peninggalan keluarga Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. peti tersebut dicuri oleh musuh setelah Nabi Musa a.s wafat.[2] Manakala dalam kitab Tafsir al-Maraghiy menyatakan Tabut ialah sebuah peti yang ada di dalamnya terdapat sebuah Kitab Taurat. Peti tersebut telah dirampas oleh al-‘Amalqa, akan tetapi dirampas kembali oleh bani Israel. Dalam perjanjian lama pada kitab ulangan telah disebutkan bahawa apabila Nabi Musa a.s. selesai menulis Kitab Taurat, baginda telah memerintahkan kaum Lawiyyin iaitu keturunan para nabi yang membawa peti perjanjian Allah. Baginda telah bersabda kepada kepada mereka: “Ambillah Kitab Taurat ini, dan letakkanlah di sebelah peti perjanjian Allah, Tuhan kamu menjadi saksi kepada kamu semua.” Lalu, terjadinya peperangan di antara Bani Israel dengan bangsa Palestine. Peperangan tersebut berlaku semasa pemerintahan Ali yang pada ketika itu dipengaruhi oleh seorang bomoh. Bangsa Palestine berjaya menewaskan Bani Israel serta menindas dan memperbudakkan mereka. Ali telah mati kerana terkejut mendengar berita tersebut dan kedudukan tersebut telah diganti oleh Nabi Samuel a.s. yang menjawat jawatan sebagai qadi dan merupakan nabi kepada mereka. Nabi Samuel a.s. telah dituntut oleh Bani Israel untuk menghadirkan malaikat untuk memimpin mereka melawan musuh dan agar pengangkatan Talut itu dirasmikan sebagai milik mereka yang akan membawa ketenangan dan ketenteraman hati.[3]
1.5 Biodata Nabi Musa a.s.
Nabi Musa a.s. adalah seorang bayi yang dilahirkan di Mesir dalam kalangan Bani Israel yang pada ketika itu dikuasai oleh Raja Fir'aun yang bersikap kejam dan zalim. Baginda telah dihanyutkan oleh ibunya di Sungai Nil kemudiannya dijumpai dan diasuh oleh Asiah. Asiah merupakan Isteri kepada Fir’aun pada ketika itu. Pada satu hari, Firaun sedang mendukung Musa yang masih dalam kanak-kanak, asyik sedang mendukung dengan tiba-tiba janggutnya ditarik oleh Nabi Musa a.s. hingga dia kesakitan, lalu berkata: “Wahai isteriku, mungkin kanak-kanak ini yang akan menjatuhkan kekuasaanku.” Isterinya berkata: “Sabarlah, dia masih kanak-kanak, belum berakal dan tidak mengetahui apapun.” Sejak berusia tiga bulan hinggalah dewasa Nabi Musa a.s. tinggal di istana itu sehinggakan orang memanggilnya Musa bin Firaun. Nama Musa sendiri diberi keluarga Firaun. “Mu” bermakna air dan “sa” bermaksud pokok sempena tempat penemuannya di tepi Sungai Nil oleh Asiah. Nama sebebnar ialah Musa bin Imran bin Qahat bin Lawi bin Ya'qub. Manakala ibunya bernama Yukabad.
Setelah meningkat dewasa Nabi Musa a.s. telah beristerikan dengan puteri Nabi Syu'aib iaitu Shafura. Dalam perjalanan hidup Nabi Musa a.s. untuk menegakkan Islam dalam penyebaran risalah yang telah diutuskan oleh Allah s.b.t. kepadanya. Baginda juga telah dipertemukan beberapa orang nabi termasuk bapa mertuanya iaitu Nabi Syu'aib a.s, Nabi Harun a.s dan Nabi Khidhir a.s. Dalam kisah ini juga ada diceritakan tentang perlibatan beberapa orang nabi yang lain di antaranya Nabi Samuel a.s dan Nabi Daud a.s. Nabi Musa a.s. wafat pada tahun 1237 SM. Baginda wafat ketika berusia 120 tahun, tetapi ada pendapat menyatakan usianya 150 tahun di Bukit Nabu’, tempat diperintahkan Allah untuk melihat tempat suci yang dijanjikan, iaitu Palestin.
2.0 Metodologi penulisan
Kajian pengkaji didalam menghuraikan tentang cerita-cerita isra’iliyat mengenai kisah tabut ini adalah dengan menggunakan kaedah rujukan perpustakaan. Ini dapat dilihat berdasarkan kepada lampiran yang disediakan oleh pengkaji. Lampiran tersebut diletakkan bertujuan untuk menjadi bahan rujukan kepada pengkaji. Pengkaji juga mengambil rujukan daripada internet untuk mendapatkan gambaran berkenaan dengan kisah-kisah tersebut.
Berdasarkan pemerhatian dan kajian terhadap kisah isra’iliyat berkenaan kisah tabut di dalam kitab-kitab tafsir. Pengkaji telah memasukkan beberapa peristiwa atau kisah yang mengandungi unsur-unsur isra’iliyat di dalam penulisan kajiannya.
3.0Huraian Kisah Tabut
Mafhumnya: “Apakah kamu tidak memperhatikan pemuka-pemuka bani israil sesudah nabi musa, iaitu ketika mereka berkata kepada seseorang nabi mereka, angkatlah untuk kami seorang raja supaya kami berperang di bawah pimpinannya di jalan allah. Nabi mereka menjawab mungkin sekali jika kalian nanti diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang. Mereka menjawab, mengapa kami tidak mahu berperang di jalan allah, padahal sesungguhnya kami telah diusir dari kampung halaman kami dan dari anak-anak kami? Maka tatkala perang itu diwajibkan keatas mereka mereka pun berpaling kecuali beberapa sahaja dari mereka. Dan allah maha mengetahui orang-orang yang zalim.”
Di dalam ayat ini disebutkan mengenai kisah Bani Israel yang berharap untuk berhadapan dengan musuh mereka. Mereka juga ingin mendapatkan kedudukan sebagai syuhada. Oleh sebab itu, mereka telah memaksa nabi mereka untuk melantik seorang pemimpin untuk memimpin mereka dalam perang tersebut. Menurut kitab Tafsir Sya’rawi mengatakan bahawa pada ketika itu para bangsawan dalam kalangan Bani Israel telah berkumpul untuk menghadap nabi mereka yang masih hidup pada masa itu dan berkata: “Mintalah kepada tuhanmu agar ia mengutus seorang pemimpin perang kepada kami”. Permintaan ini menunjukkan bahawa pada ketika itu masih belum terdapat pemimpin perang.
Berkata Abu Ja’far mengenai hal ini: “Setelah wafatnya Nabi Musa a.s., mereka telah berkata kepada nabi mereka: “Angkatlah untuk kami seorang raja supaya kami berperang di bawah pimpinannya pada jalan Allah. Disebutkan kepadaku bahawa nabi yang mengatakan hal tersebut kepada mereka adalah Samuel bin Bali bin Alqamah bin Yarham bin ilihu bin Tahw bin Suf bin Alqamah bin Abu Yasif bin Qorun bin Yashar bin Qahits bin Lawai bin Ya’qub bin Ishaq bin Ibrahim.[4]
Lalu nabi mereka menjawab: “Tidak mungkin, jika diwajibkan berperang kepada kamu kelak maka kamu tidak akan berperang kerana takut kepada musuh. Mereka pun berkata kepada nabi mereka: “Mengapa pula kami tidak berperang di jalan allah, sedangkan kami telah diusir dari kampung halaman kami bersama anak-anak kami dan paling menyedihkan ialah anak-anak kami telah dijadikan sebagai tawanan dan hamba sahaya[5].
Firman Allah s.w.t. mengenai makna ayat iaitu “Padahal sesungguhnya kami telah diusir dari kampung kami” merupakan satu alasan bagi mereka yang tidak mahu berperang pada jalan Allah[6]. Inilah keadaan orang-orang yang hidup dalam kemewahan dan mendapat nikmat yang banyak. Mereka ini berharap untuk berperang di medan peperangan dalam situasi yang tenang tetapi sebaliknya berlaku. Peperangan tersebut benar-benar terjadi dan situasi pada ketika itu menjadi huru-hara. Maka terlihatlah sikap sebenar mereka iaitu mereka telah lari dari medan peperangan.
Mafhumnya: “Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: "Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. mereka menjawab: "Bagaimana Dia mendapat kuasa memerintah Kami sedang Kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Nabi mereka berkata:" Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan". dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan pengurniaan-Nya), lagi meliputi ilmu-Nya”.
Berdasarkan persoalan yang diajukan oleh Bani Israel mengenai perlantikan ketua pimpinan perang mereka, maka Allah s.w.t. telah mengangkat Talut sebagai raja dan pimpinan perang mereka. Lalu mereka menjawab: “Bagaimana Talut boleh diangkat menjadi pemimpin kami, sedangkan kami lebih lanyak mendapat kuasa pemerintahan tersebut. Bahkan kami ini terdiri daripada golongan tertinggi iaitu golongan kerabat diraja. Manakala Talut pula tidak mempunyai kekayaan dan pangkat seperti kami, maka nabi mereka menjawab: sesungguhnya Allah telah memilih Talut menjadi raja serta pemimpin bagi kamu. Allah juga telah mengurniakan ilmu yang luas dan kegagahan kepada thalut untuk melawan musuh.
Bani Israel telah bertanya kepada Nabi Samuel a.s.: “Bagaimana dia (Talut) boleh dijadikan raja untuk menguasai kami padahal dia tidak berhak terhadap pangkat raja tersebut? Ini disebabkan masih ada orang lain selain daripadanya yang lebih berhak daripadanya, dan dia pun tiada pendokong untuk menyokongnya, iaitu harta kerana dia bukan keturunan raja ataupun nabi. Jawatan raja hanyalah berada dalam lingkungan golongan Ibn Ya’qub, antara Nabi Daud a.s. dan nabi Sulaiman a.s. Sedangkan pangkat kenabian berada dalam dalam golongan Levi Ibn Ya’qub iaitu Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s..
Nabi mereka mengatakan kepada mereka, “Sesungguhnya Allah s.w.t. memilihnya sebagai raja kamu disebabkan beliau memiliki keistimewaan seperti menurut fitrah yang merupakan sendi utama dan sebab itu beliau lebih diutamakan, luas pengetahuannya yang merupakan dasar atau modal untuk memimpin dan mengatur, mengetahui aspek-aspek kelemahan umat, kekuatannya, serta berfikiran cerdas untuk mengurus segala persoalan bangsanya, bertubuh sasa dan kuat yang menjadi asas keberanian, kemampuan membela diri, berwibawa dan bersikap tenang serta mendapat taufik Allah s.w.t. kerana diberi jalan untuk mencapai kedudukan yang dia sndiri tidak mengusahakannya.
Mafhumnya: “Dan Nabi mereka, berkata lagi kepada mereka: "Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya dari Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut Yang mengandungi (sesuatu Yang memberi) ketenteraman jiwa dari Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian dari apa Yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi-nabi Musa dan Harun; peti Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul kamu orang-orang Yang beriman".
Berdasarkan ayat dari surah al-Baqarah ayat 248 di atas, diceritakan di dalam kitab Tafsir Al-Mishbah bahawa masyarakat Bani Israel pada masa itu memiliki peti yang dinamakan Tabut. Tabut merupakan peti yang selalu dibawa oleh kaum Bani Israel ini sewaktu berperang. Peti itu dikatakan dibawa oleh sekelompok orang-orang tertentu mendahalui pasukan yang lain. Tetapi mengikut apa yang diceritakan dalam satu peperangan, peti tersebut telah dirampas oleh musuh. Ekoran dari peristiwa tersebut, nabi mereka berkata bahawa tanda kekuasaan kerajaannya iaitu dengan kedatangan peti Tabut kepada mereka. Dalam peti Tabut tersebut melahirkan ‘sakinah’ iaitu ketenangan yang turun dari Allah s.w.t.[7] Menurut pendapat ulama mengenai ‘sakinah’ iaitu berdasarkan firman Allah s.w.t:
Semasa kehadiran peti Tabut juga datang bersama-sama ketenangan jiwa kerana ketika bertemu dengan peti Tabut yang menyelematkan nabi umat manusia. Penakwilan firman Allah mengenai ayat di atas berkanaan dengan ‘sakinah’ iaitu ketenangan yang terkandung di dalam peti tabut. Ahli tafsir berbeza pendapat dalam memberi maksud berkenaan dengan sakinah. Sebahagian daripada mereka berpendapat tabut ialah angin sepoi-sepoi yang memiliki wajah seperti wajah manusia. Antara pentafsir yang mentafsir sakinah ialah Imran bin Musa, beliau mengatakan bahawa sakinah ialah angin sepoi-sepoi yang memiliki wajah seperti wajah manusia. Manakala menurut Hannad bin As-Sauri, beliau menggambarkan sakinah adalah angin sepoi-sepoi dan memiliki dua kepala. Pendapat lain pula mengatakan sakinah ialah sesuatu yang memilki kepala seperti kepala kucing, dua sayap dan satu ekor, gambaran ini diceritakan oleh Muhammad bin Amr dan juga Ibnu Waki’. Para ahli tafsir yang lain pula mengatakan bahawa sakinah adalah kepala kucing yang mati. Menurut mereka, jika ia mengeong di dalam tabut, mereka akan menyakini bahawa mereka akan mendapat kemenangan dan pertolongan.
‘Sakinah’ juga dikatakan sebagai sebuah bejana dari emas syurga yang terdapat hati para nabi yang dicucikan di dalamnya. Ini diceritakan oleh Abu Kuraib. Terdapat juga pentafsir yang mengatakan sakinah bermaksud ruh dari Allah yang berbicara.
Manakala makna ‘baqiah’ berdasarkan Firman Allah S.W.T," بقية" dimana para ulama berbeza pendapat tentang ayat ini. Ada yang mengatakan bahawa ia adalah tongkat Nabi Musa a.s, tongkat Nabi Harun a.s. dan serbuk kayu yang pecah akibat dilemparkan oleh Musa a.s. Demikian yang dikatakan oleh Ibnu Abbas r.a. Ikrimah menambahkan juga Taurat. Menurut Abu Shalih, beliau berkata "بقية" ,adalah tongkat Nabi Musa a.s. dan pakaiannya, pakaian Nabi Harun a.s dan papan lauh dari Taurat. Al-Tsauri berkata , “ada yang mengatakan bahawa "بقية" adalah se- qafiiz mann (makanan manis seperti madu) didalam mangkuk yang dibuat emas, tongkat Nabi Musa a.s., seban Nabi Harun a.s dan serbuk kayu.” Menurut pendapat Adh- Dhahhak mengatakan bahawa "بقية" adalah jihad dan perang melawan musuh.
Menurut riwayat dalam kitab tafsir Al-Maraghiy mengatakan bahawa Nabi mereka telah berkata kepada mereka, “Bahawa kembalilah kotak Tabut kepada kamu merupakan tanda perhatian Allah s.w.t kepada Talut. Kotak Tabut itu membawa ketenteraman kepada kamu kerana memandangkan ia mempunyai nilai keagamaan tersendiri (khusus). Kotak Tabut juga memuatkan barang- barang peninggalan Nabi Musa a.s dan Harun a.s yang berupa kepingan batu tulis, tongkat Nabi Musa a.s, pakaian baginda beberapa lembar Kitab Taurat dan barang peninggalan ulama- ulama pengikut Nabi Musa dan Nabi Harun a.s. Di sini dikaitkan dengan keluarga Nabi Musa dan Nabi Harun a.s kerana ia merangkumi zaman mereka berdua (selepas Nabi Musa dan Nabi Harun a.s) sehingga datangnya Talut.
Ucapan ini diucapkan oleh seorang nabi untuk menunjukkan kepada Bani Israel yang tidak puas hati dengan hujah yang disampaikan kepada mereka mengenai dengan hak Talut untuk menjadi raja mereka. Oleh sebab itu, dibawakan bukti lain menunjukkan Tuhan memberi perhatian kepada Talut. Kotak Tabut ini mempunyai sifat yang pelik seperti di dalam kitab- kitab Bani Israel. Kepelikan dari sudut cara pembuatan, keindahan dan ukirannya yang dihiasi dengan emas. Manakala kayunya pula di perbuat daripada kayu yang mahal[8]. Ciri-ciri Tabut yang lain berdasarkan riwayat di dalam kitab tafsir Nurul Quran ialah seperti perahu peti suci yang panjangnya 3 yard(2,7m) dan luasnya 2 yard(1,8) dengan tanda-tanda ilahiah di dalamnya hanya dapat dihuraikan oleh rasul-rasul Allah[9]. Menurut Tafsir at-Thabari tabut adalah sekitar tiga kali dua hasta. Manakala menurut Tafsir al-Qurtubi oleh Al- Kalbi, tabut itu diperbuat dari kayu syamsar dan yang sering dijadikan sebagai bahan baku membuat sisir.
Faktor- faktor peti Tabut dibuat kerana bangsa Mesir pada ketika dulu merupakan penyembah berhala telah memperhambakan Bani Israel dalam tempoh yang amat lama. Justeru itu, perasaan mengagungkan patung berhala telah sebati dalam hati Bani Israel disebabkan oleh patung berhala tersebut mempunyai reka bentuk yang indah. Lalu Allah s.w.t. hendak memalingkan hati mereka daripada patung- patung yang dilihat akan ciptaan pada keindahan itu kepada benda lain yang dapat dilihat. Kemudian dihubungkan kepada-Nya untuk menjadi alat peringatan kepada-Nya.
Kotak ini pada mulanya diberikan nama sebagai ‘Tabut kesaksian’, iaitu kesaksian Allah s.w.t., kemudian ia dinamakan ‘Tabut Tuhan’dan kemudian ‘Tabut Allah’. Ada yang berpendapat, ‘Tabut’ ini diangkat dengan pedati[10] yang ditarik dua ekor lembu daripada sebahagian Negeri Palestin kepada bani Israel. Kedua ekor lembu ini berjalan di bawah ilham malaikat dan dengan penjagaan mereka, tanpa ada seorang pun yang menuntun dan mengendalikannya. Sememangnya sudah menjadi adat, sesuatu yang baik be…dengan ilham bukan daripada usaha manusia dan kebiasaanya dinisbahkan kepada ilham malaikat. Bani Israel berkata tentang sebab kedatangan (kembalinya) “Tabut” ini, iaitu bangsa Palestin telah ditimpa bencana serangan hama.. yang merosakkan tanaman mereka dan penyakit buasir yang menyerang rakyat setelah mengambil Tabut tersebut. Akhirnya mereka membuat keputusan dan menyangkaTuhan Bani Israel membalas dendam kepada mereka. Oleh sebab itu, mereka mengembalikan Tabut yang diangkat pedati dan ditarik oleh dua ekor lembu betina dan mereka turut meletakkan patung tikus dan busur anak panah daripada emas di dalam tabut tersebut untuk menghapuskan dosa mereka[11].
Kedatangan Tabut juga adalah merupakan bukti wujudnya perhatian Allah s.w.t. kehadirannya juga adalah merupakan bukti terhadap kelebihan yang diberikan oleh Allah kepada Talut. Segala jawatan yang diberikan kepada adalah untuk mengurus segala kepentingan dn juga mengalahkan musuh.
Mafhumnya: “kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu Dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka Sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan Dengan tangannya". (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): "Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya". berkata pula orang-orang yang yakin Bahawa mereka akan menemui Allah: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak Dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar".
Ketika Talut keluar dari negerinya bersama dengan tentera- tenteranya, maka dia berucap dengan berkata kepada mereka. Diriwayatkan bahawa ketika mereka melihat kotak Tabut tersebut, mereka merasakan bahawa mereka tidak akan meragui lagi untuk mendapat kemenangan . Lalu mereka segera berjuang dan Talut pun berkata kepada mereka, “Janganlah keluar bersamaku orang tua, orang sakit, orang yang sedang membina bangunan yang belum selesai, orang yang sibuk berjual beli, orang yang masih mempunyai hutang, dan orang yang berkahwin tetapi belum bersama. Aku hanya menginginkan pemuda yang cergas dan bebas”, lalu berkumpullah lapan puluh ribu orang pilihannya. Ketika itu musim sangat panas sedangkan mereka berjalan merempuh daerah yang tandus. Ini menyebabkan mereka mengeluh kekurangan air, dan mereka memohon kepada Allah s.w.t. supaya dialirkan sungai untuk mereka. Maka Talut berkata kepada mereka, “Allah s.w.t. akan menguji kamu dan hendak membuktikan siapa diantara kamu yang taat dan siapa yang derhaka, siapa yang redha dan siapa yang marah. Dan selepas ini, kamu akan menemui sebatang sungai dan sesiapa yang minum daripadanya, dia bukan daripada golongan yang beriman, kecuali orang yang hanya mencedok satu kali dengan tangannya. Sesiapa yang tidak menikmati dan meminumnya, dia merupakan orang yang dapat dipercayai ketika berada dalam kesusahan dan penderitaan”.
Melalui ujian yang diberikan oleh Allah s.w.t. telah menyebabkan Talut mengetahui akan sikap tentera- tenteranya melaui tiga peringkat iaitu yang pertama orang yang minum sehingga kenyang tanpa mempedulikan penderhakaannya terhadap pemerintah dan ketua golongan ini iaitu Talut. Yang keduanya orang yang sekadar meneguk untuk membasahi tekaknya. Orang ini diterima walaupun kadar nilainya kurang. seterusnya orang yang sama sekali tidak minum. Mereka inilah orang yang menjadi pengawal dan pembela sejati yang dapat dipercayai kesetiaan dan penjuangannya.
Ketika Talut dan orang yang beriman bersamanya menyeberangi sungai dan jumlah mereka yang taat kepadanya sangat sedikit. Kemudian sebahagian daripada golongan yang beriman ini berkata kepada sebab-sebab yang lain (orang yang menyangka mereka akan bertemu dengan yang Allah s.w.t.), “Kami tidak mampu memerangi Jalut dan tenteranya apatah lagi hendak mengalahkan mereka , kerana jumlah mereka yang besar dan kekuatan mereka yang hebat”. Lalu golongan lain pula menolak anggapan tersebut kerana mereka percaya akan pertolongan Allah s.w.t. walaupun jumlah mereka yang sedikit. Ketika Talut dan golongan beriman yang bersamanya melihat musuhnya, iaitu orang Palestin (Jalut dan bala tenteranya) yang jumlahnya besar, mereka pun berlindung kepada Allah s.w.t. Mereka pun berdoa memohon supaya hati mereka dipenuhi kesabaran, kesabaran, ketabahan, manakala langkah mereka diteguhkan untuk berperang serta ditanamkan perasaan penuh kepercayaan dan ketenangan. Seterusnya Allah s.w.t. menerima doa mereka dan mereka pun menjadi sabar, teguh dan diberi pertolongan. Kemudian mereka menyerang dan mengusir sehingga memperoleh kemenangan dalam pertempuran itu.
Jalut merupakan pemerintah Palestin yang hebat dan dia menuntut untuk berperang. Namun begitu, tiada siapa pun yang mahu menentangnya sehingga Talut mengadakan pertandingan iaitu sesiapa yang dapat membunuh Jalut, dia akan dikahwinkan dengan puterinya dan dijadikan hakim (penguasa) dalam kerajaannya. Lalu Nabi Daud a.s. menyahut cabaran tersebut, sedangkan baginda masih kecil pada ketika itu, tanpa memakai baju besi dan senjata, dengan hanya membawa batu dan lastik baginda yang kebiasaannya digunakan untuk membunuh serigala dan singa. Lalu Jalut berkata kepadanya dengan nada mengejek: “Kamu keluar seperti keluar untuk membunuh anjing hanya dengan menggunakan lastik dan batu. Nanti aku akan potong- potong dagingmu dan akan aku hidangkan untuk menjadi makanan burung dan binatang buas untuk hari ini”. Tanpa membuang masa, Daud a.s. melastik Jalut dengan batu mengenai kepalanya. Setelah itu baginda pergi mendekatinya, lalu memotong kepalanya.
Kemudian kepala Jalut dibawa bersamanya dan diserahkan kepada Talut dan ini menyebabkan pasukan tentera yang bersama (Jalut) bertempiaran lari. Sejak itu, Nabi Daud a.s. menjadi masyhur dalam kalangan masyarakat dan baginda mempunyai nama yang diwariskan oleh raja Bani Israel, dan Allah s.w.t. telah mengurniakan pangkat kenabian kepadanya, dengan menurunkan kitab Zabur kepadanya. Sebelum Nabi Daud a.s., tidak ada orang yang menjadi nabi dan raja dengan sekaligus. Hal ini Ini disebabkan kerana sudah menjadi kebiasaan kepada Bani Israel diutus kepada mereka seorang nabi dan mengangkat orang lain pula menjadi raja memerintah berdasarkan nasihat nabi. Seterusnya nabi pada ketika itu ialah Samuel a.s., sementara raja pula ialah Talut.
4.0 Kesimpulan
Secara keseluruhannya, dapat disimpulkan bahawa Tabut yang disebutkan oleh Allah di dalam surah Al-Baqarah ayat 248 merujuk kepada sebuah kotak yang mengandungi ketenangan di dalamnya. Kotak tersebut telah diturunkan atau dikurniakan kepada Thalut sebagai tanda kekuasaan atau kelayakkan thalut menjadi seorang pemimpin perang. Namun peti tersebut telah dirampas oleh musuh-musuh mereka disebabkan mereka sering melakukan kemaksiatan sedang mereka mendapat kemenangan demi kemenangan. Walaupun banyak pentafsiran yang diberikan oleh para pentafsir mengenai Tabut, namun berdasarkan apa yang dapat difahami, Tabut merupakan sebuah pertolongan yang diberikan oleh Allah kepada Bani Israel ketika mereka menghadapi peperangan.
Bibliografi
1)Kitab tafsir Al-Thabari
2)M.Quraish Shihab. Tafsir Al-Mishbah, jilid 1.
3)Muhammad Ibrahim Al Hifna.wi Kitab tafsir Al-Qurtubi, jilid 3.
4)Syekh Muhammad Mutawally Sya’rawi. Tafsir Sya’rawi, jilid 1.
5)Salahuddin Abdullah Omar Khalid. Tafsir Mubin, jilid 1.
6)Allamah Kamal Faqih Imani. Kitab Tafsir Nurul Quran.
[1] Fathullah Jamil, Islam Dan Idealisme Zaman Moden, m/s 29.
[2] Sayed Qutb, Tafsir Fi Zilal al-Quran, m/s 268.
[3] Ahmad Mustafa Al-Maraghiy, penterjemah Muhammad Thalib, Tafsir al-Maraghiy juzuk 1-2, m/s 584.
[4] Syeikh Ahmad Muhammad Syakir dan Syaikh Mahmud Muhammad Syakir, Tafsir Ath-Thabari, jilid4, m/s 306.
[9] Allamah Kamal Faqih Imami, Nurul quran, m/s 287.
Subscribe to:
Posts (Atom)